Ahmad Shabery
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu bertujuan bagi mengelakkan berlakunya kejadian salah guna kuasa membabitkan pegawai di jawatan strategik terbabit, sebagaimana yang berlaku dalam Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita kena lihat semula dari aspek berapa lama tempoh seseorang pe­gawai yang me­megang jawatan strategik, mi­sal­nya menjadi Se­tiausaha Bahagian Kewangan. Perlu ditetapkan tempoh tidak melebihi dua atau tiga tahun kerana berdasarkan pe­nga­laman yang ada, sekiranya baik, patut dinaikkan pangkat atau dipindahkan ke kementerian lain.

“Ini antaranya untuk me­ngelakkan mereka yang fasih serta memahami segala selok-belok dan kaedah untuk meng­gunakan kedudukan sehingga berlakunya salah guna kuasa. Jadi, ini juga menjadi perkara yang insya-Allah akan kami timbulkan pada mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya ke­tika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan semalam mengesahkan seorang pegawai kanannya ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu, prosedur kewangan sedia ada di kementerian telah mantap dan sentiasa ditambah baik tetapi isunya di sini ialah penggiliran kakitangan.

Nur Jazlan yang sebelum ini merupakan Pengerusi Ja­watankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, masalah juga timbul apabila wujud pakatan dalam kalangan pegawai-pegawai kementerian sehingga boleh ‘menewaskan’ prosedur-prosedur yang sepatutnya menghalang berlakunya penyalahgunaan.

“Kadangkala satu pegawai duduk dalam jawatan terlalu lama sehingga boleh menjadi satu perkara yang memudahkan salah guna kuasa berlaku,” jelas beliau.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak pula menegaskan bahawa wajar bagi kementerian meneliti kaedah pembahagian kuasa supaya ada akauntabiliti memandangkan yang diuruskan adalah duit rakyat dan perlu digunakan untuk tujuan sepatutnya.

“Masalahnya dalam prosedur ini banyak diserahkan kepada budi bicara, kadangkala kita bagi kelonggaran kepada mana-mana ketua untuk ikut budi bicara mereka.

“Sekiranya budi bicara ti­dak memberi interpretasi yang jelas, akhirnya boleh disebabkan salah guna kuasa. Apa yang penting, pada saya ialah perlunya sistem pentadbiran yang mengambil kira perkara seperti ini,” ujar beliau.