Pakar Perunding Neuro Intervensi dan Radiologi Jabatan Pengimejan Diagnostik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Lau Jia Him berkata, kebanyakan peralatan yang digunakan di hospital awam masih digunakan sehingga berbelas tahun sedangkan jangka hayat mesin sepatutnya tidak lebih 10 tahun.

“Mesin yang dipakai bukanlah murah malah ada yang berharga jutaan ringgit dan peralatan tersebut perlu diperbaharui se­­i­ring dengan kemajuan teknologi. Tentunya banyak dana diperlukan sedangkan kita tidak membebankan pesakit dengan bayaran yang tinggi seperti di swasta.

“Di sini kita tidak mengenakan caj untuk perkhidmatan mesin imbas (scan) seperti x-ray, Magnetic Resonance Imaging (MRI) atau CT Scan kerana pesakit luar yang datang biasanya mempunyai surat rujukan sama ada daripada hospital ataupun klinik awam lain,” katanya ketika ditemui di HKL baru-baru ini.

Menurut beliau, jika diban­dingkan kos yang ditanggung kerajaan dengan kadar bayaran terhadap pesakit, sudah tentu jumlah itu menunjukkan perbezaan yang begitu besar.

“Sebagai contoh, sebuah me­sin MRI menggunakan sekurang-kurangnya 10 keping filem untuk sekali pengimejan yang setiap satu keping berharga antara RM8 dan RM10 manakala harga mesin dianggarkan RM150,000 hingga RM1 juta.

“Di hospital swasta, setiap perkhidmatan MRI dikenakan caj kira-kira RM1,300 untuk imbas kepala saja dan harganya boleh mencecah RM3,000 untuk dua bahagian pengimejan. Jika mereka membeli mesin dengan kos RM6 juta, dalam tempoh dua tahun sahaja mereka sudah dapat duit modal,” katanya.

Untuk itu, Jia Him mencadang­kan agar kerajaan menggunakan Picture Archiving Communication System (PACS) di semua hospital awam untuk mengurangkan kos cetakan selain imej boleh dipaparkan secara digital dan dapat diakses oleh doktor walaupun tidak berada di bilik berkenaan.

Utusan Malaysia Online