KUALA LUMPUR 20 Mac – Perbandingan relatif kos sebenar yang ditanggung hospital awam sebenarnya adalah lebih tinggi berbanding hospital dan klinik swasta.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. Ashok Zachariah Philip berkata, namun begitu kadar caj terlalu rendah yang dikenakan terhadap pesakit menunjukkan banyak subsidi diberikan kerajaan dalam aspek kesihatan.
Katanya, apabila membuat perbandingan melibatkan rawatan untuk pesakit warga asing, caj yang dikenakan terhadap mereka boleh menjadi lebih mahal daripada swasta.
“Warganegara luar tidak menik-mati bayaran sama di hospital awam, malah cajnya adalah lebih tinggi kerana kemudahan itu adalah untuk rakyat Malaysia sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia berhubung perbezaan harga di hospital kerajaan membabitkan perkhidmatan rawatan biasa, dialisis mahupun penyakit kronik yang sangat rendah berbanding hospital swasta.
Menjelaskan tentang perbezaan yang terlalu ketara, Ashok berkata, di premis swasta perbelanjaan serta kos keseluruhan biasanya sudah dikenal pasti dan diklasifikasikan mengikut kos ubat, peralatan, kakitangan, utiliti dan pengendalian.
“Di hospital awam, kos sebenar ditanggung oleh kerajaan melalui peruntukan yang disediakan setiap tahun manakala caj yang dibayar oleh rakyat biasanya hanya sebagai ‘token’ saja.
“Contohnya caj rawatan hemodialisis pada kadar RM13, sebenarnya jumlah itu tidak cukup pun untuk membeli tiub salur darah yang berharga antara RM30 hingga RM40 sekali guna,” ujarnya.
Katanya, itu tidak termasuk kos-kos lain antaranya mesin yang berharga RM30,000 hingga RM40,000 seunit, cecair steril (RM20-RM30), peralatan dan utiliti lain.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment