KUALA LUMPUR 19 Mac – Ramai yang tidak menyedari bahawa kerajaan menyediakan banyak peruntukan dalam sektor kesihatan demi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Hal ini jelas apabila membandingkan harga rawatan dan ubat antara sektor awam dan swasta melalui perkhidmatan sama yang jauh lebih murah iaitu serendah RM1 untuk rawatan biasa.
Bagi rawatan lanjut dan pembedahan, harganya tidak semahal hospital swasta malah kepakaran yang ada di hospital awam adalah bertaraf antarabangsa.
Seorang pekerja swasta yang hanya dikenali sebagai Shamsuddin, 37, berkata, dia terkejut ketika melunaskan bayaran bil hospital isterinya yang disahkan mengandung luar rahim pada tahun lalu cuma RM19.
Menceritakan pengalaman isterinya, Shamsuddin tidak menyangka kos wad, rawatan, pembedahan membuang tiub dan ubat tidak sampai RM20 padahal jika dibandingkan dengan hospital swasta tentu kosnya mencecah RM13,000.
“Pada mulanya isteri saya mengadu sakit perut, saya bawa dia ke klinik dan doktor beritahu mungkin senggugut biasa sahaja tetapi saya tidak sedap hati lalu pergi ke sebuah hospital sakit puan.
“Isteri saya kemudian dikesan mengalami ‘ectopic pregnancy’ atau hamil luar rahim. Doktor beri saya dua pilihan sama ada ke hospital kerajaan atau swasta, tetapi mencadangkan ke hospital awam saja,” katanya.
Tambah Shamsuddin, khuatir dengan keadaan isterinya yang berisiko maut sekiranya tiub falopio pecah, dia terus ke sebuah hospital awam dan menyediakan wang kira-kira RM1,000 sebagai persediaan selepas membayar wang deposit sebanyak RM30.
“Isteri saya dimasukkan ke dalam wad selama tiga hari dan menjalani pembedahan. Selepas dibenarkan keluar, pihak hospital mahu memulangkan kembali baki wang deposit saya tapi saya dermakan kerana kos rawatan isteri saya amat murah dan di luar jangkaan.
“Saya amat bersyukur isteri saya sudah kembali sihat dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh hospital kerajaan,” ujarnya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment