Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Sehubungan itu, satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kelompongan dalam prosedur perolehan kementerian itu selain menambah baik proses tatacara kewangan dalaman.

Kementerian itu juga akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan terhadap pegawai kanan berkenaan yang disyaki telah menyeleweng dana kerajaan sejak tahun 2010.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berhubung penubuhan pasukan siasatan bebas tersebut bagi memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam.

“Merujuk kepada kenyataan SPRM tentang isu penyelewengan oleh pegawai kanan kerajaan, saya mengesahkan bahawa individu terbabit yang dirujuk adalah pegawai di kementerian saya. Kami akan terus menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung siasatan tersebut selain satu semakan segera terhadap segala mekanisme dalaman dan proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di kementerian juga akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 18 Mac lalu, SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian dan lapan orang yang merupakan kontraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2010 itu telah memperdaya kementerian tersebut bagi membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor untuk tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud. Menurut Khairy, beliau telah dimaklumkan oleh SPRM beberapa minggu lepas berhubung siasatan terhadap pegawai terbabit dan telah menyatakan kesediaan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya untuk memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

“Saya ingin jelaskan bahawa aktiviti penyelewengan yang berlaku itu melibatkan program pembangunan yang tidak memerlukan persetujuan atau tandatangan pihak atasan seperti Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian.

“Kementerian melakukan proses audit pada setiap tahun, namun kita perlu meningkatkan meka­nisme dalaman untuk memantau sebarang aktiviti yang salah se­perti penyelewengan. Melalui kes ini juga, kita berjaya mengesan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pasukan siasatan bebas, Khairy berkata, ahli pasukan siasatan bebas itu semestinya terdiri daripada pegawai yang dilantik oleh Ketua Setiausaha Negara sendiri dan bukannya pegawai yang dilantik daripada kementeriannya bagi mewujudkan ketelusan.

Katanya, buat ketika ini, pegawai kanan tersebut masih lagi dalam tahanan reman dan berdasarkan prosedur perkhidmatan awam, penggantungan tugas hanya dibuat selepas pertuduhan di mahkamah.