Wednesday, January 4, 2017

3 petunjuk amal rasuah : Bawa satu pejabat main golf di luar negara

KERATAN akhbar mengenai tangkapan kes rasuah sepanjang Ogos hingga September 2016.


PUTRAJAYA 3 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan tiga ciri yang menjadi petunjuk seseorang penjawat awam terlibat dalam amalan rasuah iaitu gaya hidup mewah termasuk bermain golf di luar negara, memiliki perempuan simpanan dan kerap ke luar negara. 


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, suruhanjaya itu berjaya menghidu kegiatan tersebut hasil risikan yang dijalankan.

“Kita melihat indikator-indikator (petunjuk-petunjuk) ini, jika pegawai hidup mewah, kita akan mempertikaikan dari (sumber) mana mereka dapat hidup mewah. Kita akan tanya di mana punca wang dapat, misalnya kalau dapat kerap ke luar negara, tiga atau empat kali setahun de­ngan (penerba­ng­an) kelas pertama,” katanya dalam wa­­wan­cara khas ber­sama saluran radio dalam talian, MACC.fm di sini hari ini.

Azam menegaskan, walaupun ada yang tidak bersetuju dengan amaran Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzul­kifli Ahmad dan beliau yang meminta penjawat awam khususnya pe­ngurusan kanan berhenti bermain golf di luar negara, namun amaran itu dilakukan kerana ia merupakan ciri-ciri mereka yang mengamalkan rasuah.

“Banyak kita dapat maklumat melibatkan pegawai kerajaan ter­tinggi dan pegawai kanan yang bermain golf di luar negara yang turut bersama adalah kontraktor dan pembekal. Kalau pergi seorang tidak apa, kadang-kadang satu pejabat pergi.
“Ini bukan sahaja melibatkan pegawai persekutuan tetapi juga pegawai negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan. Pada kami, penjawat awam per­lu menghentikan ke­gia­tan bermain gol di luar negara (kerana) akan menjejaskan imej perkhidmatan awam negara ini,” tegasnya.

Dalam wawanca­ra bersama Mingguan Malaysia pada Ahad lalu, Dzulkifli yang mengingatkan penjawat awam supaya berhenti bermain golf di luar negara menegaskan, SPRM mela­kukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai perge­ra­kan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka.

Azam seterusnya berkata, 2017 merupakan tahun untuk SPRM menumpukan operasi siasatan dan risikan terhadap gejala ra­suah yang berlaku dalam sektor perkhidmatan awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan institusi perbankan.
Katanya, kegiatan rasuah da­lam perkhidmatan awam khususnya sektor penguatkuasaan dan perolehan dilihat masih serius sekali gus menuntut SPRM mengekang kegiatan itu bagi membantu negara daripada me­ng­alami kerugian hasil kerajaan.

“Kita berharap pegawai kerajaan yang terlibat rasuah bertaubat segera dan hentikannya kerana perbuatan anda menjejaskan imej perkhidmatan awam,” katanya.

Menurutnya, bagi memper­tingkatkan kecekapan pengendalian risikan kes rasuah, SPRM akan memperluas siasatan berasaskan risikan (IBI) berbanding kaedah reaktif iaitu siasatan berdasarkan maklumat orang ramai.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan SPRM berjaya mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tahun lalu menerusi siri tangkapan dan siasatan melibatkan kes bernilai jutaan ringgit antaranya Ops Water, operasi bauksit dan penyelewengan dana Kementerian Belia dan Sukan.

“Bagi tahun lalu sebanyak 982 kertas siasatan dibuka, 932 tangkapan dibuat dan 258 didakwa di mahkamah yang melibatkan jumlah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Utusan Malaysia Online

No comments: