Akibat tamak dan mahu hidup senang mereka sanggup meminta rasuah daripada kontraktor, vendor dan ahli perniagaan secara terbuka. Pelbagai bentuk rasuah mereka minta seperti ‘komisen’, bercuti di luar negara dan berhibur di pusat hiburan.

Dalam laporan khas kali ini, wartawan Mingguan MalaysiaZULKIFLEE BAKARMOHAMMAD YASIR JAAFAR dan SITI ROHAIZAH ZAINAL mendapatkan maklumat dan gambaran bagaimana amalan rasuah tersebut berlaku dan kesannya kepada hasil negara serta projek yang dilaksanakan.


KUALA LUMPUR 14 Jan.  -  Perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam didakwa berlaku berikutan sikap segelintir mereka yang melihat kedudukan dan kuasa sebagai 'lubuk untuk mengaut kekayaan'

Menurut sumber, rasuah antara kontraktor, vendor dan ahli perniagaan dengan penjawat awam yang berkuasa meluluskan sesuatu projek telah mengakibatkan ke­rajaan bukan sahaja kerugian berjuta-juta ringgit malah menyebabkan sesuatu projek itu siap dalam keadaan tidak berkualiti.

“Ini memandangkan kontraktor atau ahli perniagaan terlibat perlu mengeluarkan belanja yang banyak bagi melayan tuntutan dan kehendak penjawat awam terlibat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.

Sumber itu menjelaskan, dari segi jumlah rasuah pula ka­dang­kala melibatkan amaun yang besar termasuk seseorang penjawat awam tersebut meminta komi­sen sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus bagi projek bernilai RM100 juta.
“Itu dari segi wang tunai, ia belum lagi termasuk permintaan lain seperti bermain golf, bercuti di luar negara dan berhibur di pusat hiburan,” kata sumber itu lagi.

Keadaan itulah, kata sumber tersebut, menyebabkan sesete­ngah kontraktor berasa tertekan apa­tah lagi sebahagian besar da­ri­pada perbuatan rasuah itu terpaksa dilakukan bagi memastikan mereka mendapat projek atau me­ngelakkan projek berhadapan masalah dengan pihak berkuasa.

Menjawab satu soalan, sumber itu menjelaskan, perbuatan rasuah dalam kalangan penjawat awam berlaku dalam pelbagai bentuk dan jenis mengikut bidang kuasa penjawat awam berkenaan.

“Macam-macam cara mereka lakukan dalam usaha untuk me­ngaut keuntungan melalui kuasa yang mereka memiliki. Sebab itu­lah kita melihat segelintir penjawat awam hidup mewah tidak setanding pendapatan mereka,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu mendakwa, apa yang dikesalkan penjawat awam berkenaan juga sanggup melanggar peraturan dan undang-undang dengan memberikan sesuatu projek kepada kroni atau keluarga mereka.

“Mereka tahu perbuatan ini salah kerana tidak mengikut pro­ses yang ditetapkan melalui pekeliling kewangan, tetapi mereka buat juga demi untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Sambil menggunakan istilah ‘sudah nyanyuk dengan rasuah’, sumber itu berkata, perbuatan jenayah itu bukan sahaja berlaku di peringkat Persekutuan malah turut berleluasan di daerah dan negeri termasuklah pihak berkuasa tempatan.

“Keadaan ini kalau dibiarkan bo­leh memudaratkan negara ke­ra­na penjawat awam terlibat bukan sahaja sanggup menerima ra­suah malah perbuatan mereka menyebabkan keyakinan rakyat ke­pada perkhidmatan awam boleh terjejas,” katanya.

Utusan Malaysia Online