Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh dan menaruh keyakinan kepada profesionalisme SPRM dalam me­ngendalikan kes tersebut.

“Saya sudah buat kenyataan media semalam jadi kita serahkan kepada SPRM untuk mengadakan siasatan kerana kalau saya komen nanti, boleh mengganggu siasatan.

“Kita yakin kepada kebijaksa­naan dan keadilan SPRM dalam menjalankan siasatan dan serahkan kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Pe­ringkat Daerah Bera, di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan seorang pegawai tinggi kementerian bergelar Datuk berumur 59 tahun ditahan bersama anaknya yang berusia 29 tahun kerana terlibat dalam kes penyalahgunaan kuasa untuk menerima rasuah.

Hasil pemeriksaan selama 12 jam di rumah suspek, SPRM me­ram­pas wang tunai lebih RM3 juta daripada akaun, mata wang asing serta jongkong emas.

Susulan itu juga, mahkamah mengeluarkan perintah reman terhadap suspek dan dua anak­nya selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa untuk menerima rasuah.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai status jawatan suspek dan penggantinya, Ismail Sabri berkata, soal perjawatan adalah di bawah kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Tidak tahu lagi perkara itu kerana dari segi jawatan ditentukan JPA dan mahkamah belum putuskan lagi salah atau tidak, itu urusan perjawatan 100 peratus di bawah JPA,” ujarnya.