Perbuatan itu dilakukan oleh segelintir penjawat awam yang tamak dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kepuasan diri sehingga sanggup menggadai integriti.

Menurut sumber, terdapat tiga ‘kategori’ rasuah antara penjawat awam dan pemberi rasuah iaitu secara kerjasama, kroni dan paksaan.

Sumber mendakwa, amalan rasuah oleh penjawat awam bukan sahaja melibatkan projek bernilai kecil, tetapi ada yang mencecah jutaan ringgit.

“Bentuk kerjasama yang dimaksudkan ialah penjawat awam memberikan tender kepada kontraktor tanpa melihat terlebih dahulu projek tersebut.

“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan penjawat awam berjawatan tinggi tetapi hampir keseluruhan agensi termasuk ka­kitangan bawahan yang turut bersekongkol menerima suapan, malah mereka menerima ‘baya­ran penuh’ suapan walaupun pembinaan belum dimulakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Dakwa sumber itu, selain kerjasama, penjawat awam sering memberikan projek kepada kroni masing-masing tanpa membuka tender kepada umum. Penjawat awam yang mempunyai kuasa itu akan menyerahkan projek kepada syarikat kroni sama ada isteri, anak atau saudara-mara.

“Pemberian projek tersebut tanpa melalui proses yang sah dan tidak mengikut pekeliling kewangan. Selain itu, dengan memberikan projek kepada kroni mereka akan meletakkan harga yang tinggi dan secara tidak langsung mendapat keuntungan atas angin daripada projek tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, tidak semua ra­suah yang membabitkan segelintir penjawat awam atas persetujuan kedua-dua belah pihak, tetapi ada juga yang dipaksa hanya untuk mendapatkan kelulusan projek.

Jelas sumber itu, segelintir pen­­jawat awam sanggup melengah-lengahkan kelulusan projek yang dipersetujui dan meminta komisen kepada kontraktor.

“Contohnya, pada permulaan, sebelum projek dilaksanakan, ko­­misyen dipersetujui kedua-dua pihak sebanyak 10 peratus, bagaimanapun, setelah siap sepenuhnya dan menunggu kelulusan, mereka akan menangguhkan proses itu dan meminta tambahan 10 peratus jika mahu ia diluluskan.

“Apa yang dikesalkan, akibat sikap penjawat awam tersebut ia mengakibatkan kontraktor lari sehingga memungkinkan sesuatu projek terbengkalai sehingga mendatangkan kerugian besar ke­pada kerajaan,” ujarnya.