Perdana Menteri yakin, sekiranya penjawat awam merangka minda ke arah perkhidmatan pe­nyampaian terbaik, 2017 akan menjadi tahun paling berjaya untuk negara sekali gus menyejahterakan rakyat.

“Fokus perkhidmatan dan kerajaan ini adalah untuk rakyat, projek untuk rakyat, usaha untuk rakyat, kebajikan untuk rakyat, latihan untuk rakyat, penambahan nilai untuk rakyat, segala-galanya untuk rakyat.

“Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) sehari dua ini mengingatkan kita bahawa jangan ambil hak rakyat, ini rakyat punya.

“SPRM ingatkan kita kerana kita buat peruntukan dan bajet untuk rakyat, kalau berlaku ketirisan, rakyat hampa dan hilang keyakinan, jadi saya harap, kita fokus pada penyampaian dalam konteks tafsiran yang luas,” kata­nya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang pertama bagi 2017 di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Najib berkata, semua pihak dalam kerajaan mesti memainkan peranan dan tanggungjawab serta berusaha ke arah menjalin kerjasama demi kepentingan rakyat, bukannya bekerja secara silo.

Perdana Menteri menegaskan, khidmat penyampaian kepada rak­yat perlu dibuat mengikut jadual dan sekiranya berlaku kelewatan atau berdepan kekangan serta masalah, ia mestilah diselesaikan segera.

“Janganlah kerja secara silo, kita kata ini hak kita dan orang lain jangan campur, kerja orang lain jangan ambil peduli. Kalau ada sikap seperti ini kita akan hadapi masalah birokrasi yang keterlaluan.

“Ingat, penyampaian bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi daripada segi nilai untuk rakyat.

“Yang mana jaga projek mainkan peranan, yang mana jaga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mainkan peranan, yang mana jaga keselamatan tumpukan dan yang mana jaga banjir, mainkan peranan,” katanya.

Utusan Malaysia Online