PEPATAH Melayu ada mengatakan:
Seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit.
Jika mencoteng arang biarlah di muka sendiri.
Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Tiga pepatah ini ingin saya kaitkan dengan kejadian salah guna kuasa dan amalan rasuah oleh segelintir pegawai atau penjawat awam. Kesannya boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan awam dan institusi kerajaan.
Pada 4 Januari 2017 lalu kita dikejutkan dengan tindakan SPRM menahan seorang lagi pegawai tinggi kerajaan kerana pembabitan dalam skandal rasuah melibatkan sitaan wang tunai berjumlah RM1 juta, mata wang Australia bersamaan RM261,704; jongkong emas bernilai RM1.6 juta, 150 beg dan jam tangan pelbagai jenama, wang RM3 juta di dalam akaun dan 10 lot tanah.
Nilai keseluruhan hasil sitaan yang disyaki dibeli atau diperolehi daripada aktiviti rasuah tersebut ini dianggarkan sekitar RM6 juta. Pegawai yang terlibat bukan calang-calang kedudukannya, tetapi merupakan seorang Ketua Setiausaha (KSU) yang berada pada gred jawatan utama sektor awam (JUSA) di sebuah kementerian, iaitu jawatan tertinggi bagi pegawai awam sesuatu kementerian.
Dilaporkan pegawai awam tersebut berumur 59 tahun, yang bemakna beliau akan bersara wajib setahun lagi apabila mencapai umur 60 tahun.
Dalam isu-isu semasa berkaitan rasuah dalam kalangan penjawat awam. Kejutan demi kejutan berlaku yang melihatkan ketirisan integriti dan kemusnahan sifat amanah daripada sekecil kesalahan atau salah laku sehinga ke tahap yang sangat serius dan begitu menjengkelkan.
Izinkan saya memetik pernyataan oleh DYMM Pemangku Raja Perak (ketika itu) Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah (Sultan Perak Darul Ridzuan ketika ini) semasa menyampaikan titah ucapan Baginda bertajuk “Ke Arah Memperkasakan Integriti” di Konvensyen Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2013:
“Hari ini dunia bagaikan menghadapi paradoks untuk mentadbir urus kejayaan setelah kejayaan dicapai. Sifat tamak – sifat bongkak – sifat angkuh, semakin berada di tengah pentas. Sifat sederhana – sifat rendah diri – sifat jujur – sifat ikhlas, bagaikan semakin jauh tersisir. Kini, semakin berlaku jurang yang luas antara imej luaran dengan kandungan dalaman; kecantikan palsu luaran dijelmakan disebalik kosmetik hingga terlindung kehodohan dalaman; membawa kepada persoalan adakah semakin tinggi kejayaan dicapai, akan semakin terhakis integriti insan.”
Kelemahan Dalam Menguatkuasa Peraturan- Peraturan Pegawai Awam dan Sikap Pejam Mata Ketua Jabatan
Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 meletakkan tugas kawalan dan pengawasan tatatertib pegawai bawahan ke atas pegawai kanan atau ketua jabatan. Jika pegawai kanan atau ketua jabatan gagal mengambil tindakan ke atas pegawai bawahannya yang melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan maka pegawai kanan atau ketua jabatan tersebut akan disifatkan sebagai telah cuai dalam melaksanakan tugasnya dan tidak bertanggungjawab, dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Saya tidak pernah melihat apa-apa rekod atau statistik yang memaparkan Peraturan 3C tersebut dikuatkuasakan terhadap pegawai kanan atau ketua jabatan. Adalah menjadi pengetahuan umum terdapat ketua jabatan yang tidak mahu mengambil tindakan ke atas pegawai bawahan yang melanggar disiplin, untuk mengelak daripada menjadi ‘tidak popular’ dalam kalangan pegawai-pegawai bawahan atau bimbang tindak balas oleh pegawai bawahan.
Terdapat juga ketua jabatan yang dengan sengaja membantu menyembunyikan kesalahan pegawai walaupun kesalahan tersebut mempunyai elemen perlakuan jenayah dengan alasan tidak mahu perkara kesalahan tersebut diketahui oleh pihak luar yang boleh memalukan jabatan. Saya memetik satu kes, di mana ketua jabatan sendiri tidak melaporkan kejadian melepaskan tembakan dengan tidak sengaja oleh anggota penguat kuasa di premis jabatan tersebut dengan alasan kejadian tersebut hanya suatu yang tidak disengajakan.
Sikap pejam mata dan kegagalan sebegini bukan sahaja melemahkan tahap disiplin warga kerja di sesebuah jabatan/organisasi malah ketua jabatan sedemikian sewajarnya dikenakan tindakan di bawah Peraturan 3C tersebut. Maka itu saya menyimpulkan di sini mekanisme kawalan disiplin pegawai awam telah wujud di semua peringkat tetapi tahap penguatkuasaan dan seliaan masih berada dalam peringkat yang sangat lemah.
Di bawah Peraturan 10, setiap pegawai awam diwajibkan membuat perisytiharan bertulis kepada ketua jabatannya berkaitan pemilikan harta yang dipunyai olehnya, atau oleh isteri atau suaminya atau anaknya atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihak dirinya atau bagi pihak isteri atau suami atau anaknya. Perisytiharan tambahan perlu dilakukan setiap kali pegawai memperolehi harta baharu atau tambahan termasuk dalam perkara melupuskan harta yang telah dibuat perisytiharan. Kegagalan membuat perisytiharan adalah satu kesalahan pelanggaran peraturan tatatertib.
Harta yang dimaksudkan termasuk apa-apa harta berbentuk harta alih atau harta tak alih. Dalam menerima kebenaran berkaitan maklumat perolehan harta dan punca pendapatan bagi pembelian harta, ketua jabatan perlu mengambil kira saiz, amaun atau nilai harta itu berbanding dengan emolumen pegawai itu dan apa-apa pendapatan persendirian yang sah oleh pegawai. Jelasnya dalam kes-kes sitaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, pemilikan atau perolehan harta sitaan tidak dibuat pengisytiharan oleh pegawai. Pegawai akan menyembunyikan wang dan harta yang didapatinya secara rasuah atau melalui penyelewengan dana awam dengan pelbagai kaedah.
Pendapatan haram pegawai bukan sahaja terhadap wang dan harta rasuah tetapi juga tanpa perlu membayar cukai pendapatan ke atas wang dan harta yang menyalahi undang-undang tersebut. Dalam kes sitaan melibatkan nilai harta yang besar daripada Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, sebahagian daripada wang tersebut disimpan dalam akaun bank di luar negara. Perlakuan dan kaedah menyembunyikan harta rasuah menjadi semakin canggih dan merentasi sempadan negara yang akan menyebabkan usaha mengesan dan membuat sitaan ke atasnya menjadi rumit dan kompleks untuk dijangkau kerana ia akan melibatkan tatacara undang-undang yang terpakai di negara tempat harta tersebut disimpan atau dimiliki. Maka itulah kepentingannya instrumen antarabangsa dan keahlian negara dalam protokol antarabangsa khususnya dalam melaksanakan perjanjian berkaitan kerjasama dan bantuan bersama dalam perkara jenayah (MACMA 2002).
Siasatan penyelewengan berkaitan dana syarikat Perwaja memberikan pengajaran dan pengalaman yang berguna kepada agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan SPRM serta Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar bagaimana rumitnya untuk mendapatkan keterangan dan maklumat perbankan di luar negara seperti Hong Kong, Switzerland dan Jepun bagi digunakan dalam prosiding jenayah di Malaysia. Ia bukanlah suatu proses diplomasi yang mudah kerana melibatkan hak kedaulatan (sovereignity) negara-negara terlibat.
Rasuah itu Toksik
Rasuah umpama toksik yang memudaratkan yang apabila telah menjadi darah daging akan merosakkan seluruh organ dan fungsi tubuh badan. Jika ia tidak dibendung negara akan terjerumus kepada keadaan lawless serta kehancuran tamadun. Maka itu langkah ‘mendetoksifikasi’ perlu dijalankan dengan konsisten supaya tubuh badan yang telah tercemar oleh ‘toksik-toksik’ ini tidak terus merebak dan membahayakan anggota yang lain. Dalam hal ini tindakan disiplin yang tegas dan segera perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa tatatertertib dan ketua jabatan.
Dasar exit policy yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2015 untuk mengeluarkan dari perkhidmatan awam pegawai yang bermasalah dan under performance perlu dipraktikkan tanpa kompromi.
Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, saya ingin memetik ucapan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada tahun 1967 berkaitan Defining Governance yang ditujukan kepada penjawat awam:
“As civil servants, I hope you will stand up to us politicians, and not allow yourselves to be dominated by us, because in a true democracy, the civil servants have a duty to perform. The future of our country’s democratic way of life is dependent on you.”
Begitu besar sekali pengiktirafan, harapan dan amanah yang diletakkan oleh pemimpin negara ke atas pegawai awam. Maka itu pegawai awam perlu mengambil tugas dan tanggungjawab tersebut dengan penuh kesyukuran dan komitmen. Sebarang perlakuan bersifat rasuah, salah guna kuasa dan kedudukan, penyelewengan dana awam dan salah laku lainnya adalah suatu pengkhianatan ke atas amanah yang diletakkan ke atas setiap pegawai atau penjawat awam.
Cukup-cukuplah daripada meneruskan perlakuan yang mendatangkan keaiban dan menconteng arang ke atas perkhidmatan awam serta bencana ke atas rakyat dan negara. Semoga hidup kita semua dirahmati dan lebih diberkati dengan berlandaskan integriti dan amalan kerja yang baik.
DATUK YAACOB MD. SAM
PENULIS ialah Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment