Tuesday, January 3, 2017

Banteras awal sebarang aktiviti menjurus rasuah

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Aktiviti bermain golf atau melancong di luar negara oleh penjawat awam atas tajaan pihak tertentu yang mempunyai hubungan perniagaan dengan kementerian perlu dicegah lebih awal bagi membendung gejala rasuah. 

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, sejak zaman beliau berkhidmat di dalam sektor awam, aktiviti tersebut dite­gah kerana beliau tidak mahu penjawat awam terpalit dengan sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan integriti sektor awam.

“Tidak dinafikan dahulu ada juga perkara sebegini te­tapi jumlahnya sedikit, jika saya terima aduan atau surat layang mengenainya saya akan segera panggil pengurusan tertinggi bermesyuarat.

“Di dalam mesyuarat tersebut saya akan menyuarakan hal ini dan saya tidak mengizinkan sebarang hubungan, tajaan dengan pihak swasta atau kontraktor yang mempunyai perniagaan dengan kementerian, kalau masih ada yang lakukan mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas mengenai peringatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad yang mahu penjawat awam di negara ini supaya berhenti bermain golf di luar negara.

Beliau memberitahu, SPRM melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat tentang pergerakan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan penjawat awam terbabit.

Ahmad Sarji yang berpengalaman luas di dalam sektor perkhidmatan awam memberitahu, seorang penjawat awam yang baik mesti mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan syak dan menjurus kepada unsur rasuah.

“Bermain golf di dalam atau luar negara dan melancong tidak salah, tetapi ia mestilah bukan atas tajaan sesiapa.
“Kalau seorang penjawat awam bermain golf dengan pemilik syarikat swasta atau kontraktor memang akan me­nimbulkan syak wasangka dan perkara ini kalau boleh elakkan,” jelasnya.

Tambahnya, penguatkuasaan SPRM perlu diteruskan bagi memastikan penjawat awam bebas daripada rasuah dan beliau bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh SPRM bagi membersihkan sektor awam.

“Seorang penjawat awam perlu menetapkan iman dan menjaga reputasi serta perlu tahu implikasi jika terlibat rasuah antaranya harta benda disita, tiada peluang kenaikan pangkat dan boleh dibuang kerja,” jelasnya.

Utusan Malaysia Online

No comments: