Isu rasuah jika tidak ditangani segera bukan sahaja menghancurkan ekonomi, tetapi turut menjejaskan produktiviti negara. Kesungguhan SPRM menghapuskan rasuah khususnya dalam kalangan penjawat awam kanan menunjukkan Malaysia amat serius memerangi jenayah kolar putih.

Pada hemat saya, jenayah kolar putih lebih berbahaya  berbanding jenayah curi mahupun bunuh. Lihat sahaja jumlah aset dan wang tunai diraih hasil jenayah kolar putih dilakukan oleh beberapa penjawat awam kanan sebelum ini. Jika dikumpulkan nilai rampasan dibuat SPRM setakat ini mencecah bilion ringgit.

Bayangkan penyelewengan kuasa oleh penjawat awam kanan berleluasa di setiap jabatan dan agensi kerajaan. Keadaan itu tentu menggusarkan pelabur luar kerana sudah tiada lagi integriti dalam urus tadbir negara. Jelas sekali negara bakal kehilangan sumber ekonomi yang dijana daripada pelaburan asing!

Lebih menakutkan, Malaysia boleh jatuh kepada negara kuasa besar jika keselamatan negara terus digugat kelak. Isu-isu seperti pencerobohan di sempadan dan perairan negara serta lambakan pendatang asing tanpa izin ke negara ini dipercayai akibat penyelewengan kuasa oleh individu yang mempunyai kepentingan dalam agensi-agensi kerajaan.

Seperkara jelas, rasuah berprofil tinggi rata-ratanya melibatkan latar belakang penjawat awam yang sudah lama dalam sesebuah jabatan. Pengalaman melebihi 10 tahun memberi peluang kepada individu itu mencari ‘lubang’ bagaimana hendak menambah sumber pendapatan tambahan.

Ditambah pula dengan kelebihan kuasa yang ada memudahkan mereka untuk menyeleweng, dan antara yang dikenal pasti ialah meluluskan projek-projek kroni yang telah memenuhi ‘syarat-syarat’ tertentu yang ditetapkan.

Berkemungkinan juga kegiatan individu itu disokong ‘skuad khas’ yang terdiri daripada kakitangan dan pegawai favourite di bawah agensi atau jabatan diterajuinya.

Hakikatnya, modus operandi sebegini adalah klise, jadi bukan sesuatu yang sukar pun untuk kita menanganinya. Tempoh perkhidmatan lama adalah kata kunci yang mungkin boleh menyelesaikan masalah rasuah dalam kalangan penjawat awam kanan dan pegawai tinggi kerajaan.

Berdasarkan itu, beberapa dasar berkaitan perkhidmatan penjawat awam perlu dikaji semula. Berikut antara cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA):

* Hadkan tempoh individu memegang jawatan penjawat awam kanan kepada maksimum tiga tahun sahaja

* Peruntukan undang-undang yang mewajibkan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan SPRM menyiasat aset dan kekayaan penjawat awam kanan setelah tamat tempoh tiga tahun khidmat di jabatan berkenaan

* Penjawat awam kanan yang ‘bersih’ dan lulus ‘ujian’ LHDN dan SPRM akan dipertimbangkan untuk tawaran sambung kontrak perkhidmatan (bergantung jika khidmat mereka masih diperlukan jabatan sama)

* Sistem pertukaran dan perpindahan penempatan melibatkan ketua-ketua jabatan dan yang berkuasa meluluskan projek perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan besar-besaran di semua agensi dan jabatan selepas seseorang itu tamat tempoh tiga tahun di satu-satu jabatan.

Meskipun setiap penjawat awam diwajibkan mengisytiharkan harta, langkah itu dilihat masih tidak memadai kerana dikhuatiri akan berlaku ketidaktelusan. Bagi saya, cadangan yang mewajibkan aset penjawat awam kanan disiasat LHDN dan SPRM setiap tiga tahun sekali itu adalah wajar bagi memastikan mereka bebas rasuah.

Langkah proaktif sebegini secara tidak langsung memberi peringatan kepada penjawat awam kanan khususnya bagi jawatan-jawatan penting yang membolehkan mereka meluluskan projek melibatkan jutaan ringgit tentang kewajipan untuk memenuhi kriteria pelantikan sebagaimana prosedur yang digariskan Tatacara Perolehan, Kementerian Kewangan.

SYUKUR SELALU
Putrajaya