Naib Presiden PPTD, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, langkah yang diambil SPRM bukan sahaja dapat menjamin mutu perkhidmatan penjawat awam, malah dapat memastikan integriti mereka sentiasa terjamin.

“Bagi saya, apa yang SPRM lakukan sekarang adalah mengikut arahan dan juga undang-undang bagi memastikan semua penjawat awam menepati setiap peraturan yang telah ditetapkan terutamanya dalam hal integriti.

“Saya mewakili PPTD menyokong penuh tindakan SPRM, hal ini bukan sahaja menjamin mutu perkhidmatan malahan integriti mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan berkata demi­kian bagi mengulas pe­ringatan Ketua Pe­suruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad baru-baru ini yang ma­hu penjawat awam di negara ini supaya berhenti bermain golf di luar negara.

Terbaharu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan tiga ciri utama penjawat awam terlibat dalam amalan rasuah iaitu gaya hidup mewah terma­suk bermain golf di luar negara, memiliki perempuan simpanan dan kerap ke luar negara.

Menurut Lokman Hakim, setiap penjawat awam termaktub kepada pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhid­ma­tan Awam (JPA) berhubung permohonan kebenaran keluar negara tidak kira atas urusan rasmi atau pun tidak rasmi.
“Penjawat awam di setiap kementerian termaktub kepa­da pekeliling tersebut dan kelulusan untuk keluar negara tertakluk kepada mereka yang berpangkat lebih tinggi, sebagai contoh saya sebagai Ketua Setiausaha perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Setiausaha Negara.

“Saya juga ingin memberi nasihat kepada ahli-ahli PPTD terutamanya yang berkhidmat di bahagian perolehan dan pembangunan agar tidak terpengaruh dan terjebak dengan kegiatan rasuah, mereka juga perlu menjauhi mereka yang mempunyai kepentingan,” katanya.

Lokman Hakim berkata, seorang penjawat awam yang bertanggungjawab mesti menge­lakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan syak dan menjurus kepada unsur rasuah

“Penjawat awam perlu me­ngelak meminta sesuatu sebagai imbuhan. Bermain golf di dalam atau luar negara serta melancong tidak salah, tetapi mereka perlu pastikan semua itu bukan tajaan mana-mana pihak yang berkepentingan,” katanya.