KOTA KINABALU 1 Mac - Ketua-ketua jabatan diingatkan supaya sentiasa memantau projek dan dasar yang dirancang oleh kerajaan negeri bagi mengelak berlaku sebarang penyelewengan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman berkata, kegagalan memantau pelaksanaan segala program itu hanya akan menyebabkan ia dinikmati oleh segelintir pihak sahaja.
''Dasar dan sesuatu pembangunan akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita berjaya melakukan agihan kemakmuran secara adil dan saksama, sehingga dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
''Oleh itu menjadi tanggungjawab kita membina satu jentera mantap dan teratur bagi merealisasikan hasrat itu," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Implikasi Dasar-Dasar Awam anjuran Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri di sini, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Gregory Joitol. Seminar sehari itu dihadiri oleh ketua-ketua jabatan negeri.
Sukarti berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk menambah baik dan memperkemas segala dasar sedia ada bagi membolehkan pembangunan dilakukan tanpa sebarang halangan.
Bagaimanapun katanya, jentera pelaksanaan yang efisien serta kemajuan yang dicapai tidak memberi makna jika nilai integriti tidak dipraktikkan dalam pekerjaan dan kehidupan harian.
''Kita harus menerima hakikat bahawa sesuatu dasar yang tidak memberi peluang penyertaan secara adil kepada semua golongan adalah satu dasar yang tidak boleh bertahan dalam jangka masa panjang," katanya.
Beliau menambah, pihaknya komited dalam membantu membangunkan negeri ini terutama dalam pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang merupakan satu cabaran terbaru dalam perancangan dasar kerajaan negeri.
No comments:
Post a Comment