Monday, March 2, 2009

Peranan Puspanita dipuji

PUTRAJAYA 1 Mac - Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) yang mempunyai lebih 80,000 ahli hari ini mendapat pujian atas peranan besarnya menyokong dasar-dasar kerajaan selain menumpukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, Puspanita juga telah berjaya menunjukkan kemampuan dengan tidak bergantung sepenuhnya pada peruntukan kewangan daripada kerajaan.

''Sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan tetapi berpayung di bawah kerajaan, saya gembira Puspanita sentiasa menyokong dasar-dasar semasa kerajaan apabila melaksanakan aktiviti dan menguruskan kewangan persatuan.

''Puspanita telah melaksanakan sebahagian aktivitinya dengan menggunakan wang perbelanjaan sendiri daripada hasil sewaan kedai, asrama, apartmen dan premis serta pakej perkahwinan di Rumah Puspanita dan Puspanitapuri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku 'Citra Gemilang 25 Tahun Puspanita' di Puspanitapuri di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan Yang Dipertua Puspanita, Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin.

Menurut Mohd. Sidek, sepanjang tempoh 25 tahun penubuhannya, Puspanita berjaya menjadi organisasi yang kukuh dan dihormati selain boleh dijadikan penanda aras kepada badan sukarela lain.

Beliau berkata, segala liku perjalanan dan kejayaan Puspanita telah dirakamkan dalam penerbitan buku Citra Gemilang 25 Tahun Puspanita.

Justeru katanya, buku tersebut perlu dijadikan sumber rujukan dan inspirasi para ahli Puspanita.

''Saya percaya buku ini akan membawa nostalgia dan kenangan manis kepada para pembacanya," katanya.

No comments: