Sunday, March 15, 2009

Pelbagai insentif galakkan doktor berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan

PETALING JAYA, 15 Mac (Bernama)-- Kementerian Kesihatan menyediakan "pelbagai ganjaran" untuk mengekalkan doktor dalam perkhidmatan kerajaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini termasuk penghargaan, jumlah ganjaran lebih tinggi, peningkatan dan pertumbuhan kerjaya, gaya hidup seimbang, kepuasan daripada segi kerja, cabaran profesional, ruang autonomi dan pembangunan modal insan.

Berucap pada simposium "Cabaran Masa Depan Penjagaan Kesihatan Di Malaysia" di sini, beliau berkata kementerian itu menyediakan beberapa insentif dan ganjaran untuk menggalakkan doktor kerajaan kekal dalam perkhidmatan.

Katanya insentif itu termasuk lebih banyak peluang bagi kenaikan pangkat dan kebaikan pangkat lebih cepat berdasarkan prestasi, peluang kepada mereka yang berada dalam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memilih skim pencen, elaun panggilan bertugas dan lokasi, elaun makan dalam bilik pembedahan dan ganjaran bagi doktor yang menyampaikan syarahan di universiti.

Insentif lain ialah peluang melanjutkan pelajaran dan cuti sabatikal, bantuan bagi penyelidikan dan penerbitan melalui pusat penyelidikan klinikal di seluruh negara, biasiswa bagi anak-anak doktor yang layak dan cuti tahunan 35 hari dan 25 hari bagi kakitangan baru.

Noor Hisham berkata diharapkan melalui pelbagai insentif itu, doktor akan terus bekerja dalam perkhidmatan kerajaan kerana ia juga merupakan peluang untuk mereka memenuhi tanggungjawab sosial untuk berkhidmat kepada negara.

B
ernama

No comments: