Thursday, March 5, 2009

Pencen saya hanya RM231

SAYA telah berkhidmat dengan Tentera Darat British Tempatan (LEP) di Taiping, Perak, dari 10 April 1956 hingga 10 Disember 1971 selama 15 tahun 245 hari.

Sebelum memulakan perkhidmatan, saya telah mengangkat sumpah taat setia kepada Baginda Queen dan raja-raja Melayu di Tanah Melayu. Malangnya, kini perkhidmatan saya dengan Tentera British itu telah tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Saya telah berkhidmat dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak dari 1972 hingga 1978 sebelum menjawat jawatan Pembantu Pendaftaran Rendah di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.

Jumlah perkhidmatan saya di dalam LEP dan Kerajaan Malaysia lebih kurang 33 tahun. Saya sepatutnya menerima pencen RM720 sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2009 baru-baru ini. Tapi, pencen yang saya terima sekarang hanya RM231.79. Setelah dipotong hutang, saya kini berada di bawah paras kemiskinan.

A.WAHAB KARIM
Sg. Raya, Perak

Utusan Online

No comments: