Friday, March 20, 2009

PM cadang Program Penugasan Sementara Sektor Awam - Swasta

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan supaya pegawai dari sektor awam berkhidmat secara penugasan sementara dengan sektor swasta, dan sebaliknya.

Perdana Menteri berkata program seperti itu akan membolehkan pegawai serta eksekutif dari sektor awam dan swasta saling menimba pengalaman dan mempelajari persekitaran kerja satu sama lain.

Abdullah berkata penugasan seperti itu akan memberi manfaat bersama dan mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara mereka serta menyumbang kepada kecekapan, daya saing dan tadbir urus yang lebih baik.

"Saya fikir adalah sangat bermanfaat untuk sektor awam dan swasta menimba pengalaman seperti itu," katanya ketika berucap pada majlis jamuan bersama anggota Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di sini Khamis malam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Bersama Pemudah Tan Sri Sidek Hassan dan bekas presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia yang juga pengerusi bersama Pemudah Tan Sri Yong Poh Kon.

Pemudah ditubuhkan pada 7 Feb 2007 dan melaporkan secara terus kepada Perdana Menteri. Pasukan itu terdiri daripada 23 orang yang amat dihormati dari sektor awam dan swasta.

Antara lain tugasnya berhubung kait dengan penyemakan status sistem penyampaian khidmat awam daripada segi proses, prosedur, perundangan dan sumber manusia ke arah memperkenalkan penambahbaikan, mengkaji amalan terbaik dalam sektor swasta yang boleh diguna pakai oleh sektor awam dan menyelaraskan program merentasi agensi sektor awam ke arah meningkatkan daya saing Malaysia.

Abdullah juga berkata tidak mustahil untuk Malaysia berada antara 10 ekonomi paling berdaya saing dan tadbir urus yang baik serta cekap, asalkan setiap orang bekerja keras.

"Saya tahu dengan mengamalkan semangat ini dalam perkongsian sektor awam dan swasta, perkara ini akan membuahkan hasil," katanya.

Mengenai Pemudah, Abdullah berkata beliau berasa amat gembira dengan sumbangan dan kejayaan yang dicapai oleh pasukan itu sehingga kini, sambil menambah semasa Pemudah mula diwujudkan, terdapat jangkaan tinggi untuk pasukan itu menghasilkan beberapa keputusan yang baik dalam meningkatkan sistem penyampaian awam.

"Di sini saya ingin mengiktiraf anggota sektor awam yang memberikan respons positif kepada cadangan dan maklum balas daripada sektor swasta serta Pemudah. Saya juga ingin lihat perkongsian ini berkembang dan diperkukuhkan," katanya.

Bernama

No comments: