Wednesday, March 11, 2009

Tawaran 63,000 peluang kerja

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kerajaan akan mengambil seramai 63,000 lagi kakitangan sama ada secara tetap atau kontrak di peringkat profesional atau sokongan untuk mengisi kekosongan di pelbagai agensi kerajaan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, sebanyak 50,000 jawatan kosong di peringkat profesional dan sokongan dalam perkhidmatan awam Persekutuan akan diisi segera dan agensi-agensi kerajaan pula akan diberi kuasa untuk melantik kakitangan kumpulan sokongan.

''Mereka yang diambil berkhidmat secara kontrak tidak akan diberhentikan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan kecuali atas sebab tindakan tatatertib atau prestasi yang tidak memuaskan,'' katanya.

Selain itu, sebanyak 13,000 peluang pekerjaan juga akan diwujudkan bagi pegawai secara kontrak di agensi-agensi kerajaan seperti pengambilan melalui skim perkhidmatan singkat bagi mereka yang mempunyai kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia dengan gaji sebanyak RM1,200 sebulan, ujar beliau.

Lain-lain peluang pekerjaan ialah pengambilan kira-kira 1,000 siswazah sebagai guru sandaran dengan gaji bulanan RM2,000 dan melantik kira-kira 800 pekerja kontrak bagi perlaksanaan Program Cari di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk tempoh enam bulan hingga setahun, katanya.

Sementara itu, seramai 1,000 peluang disediakan sebagai Pembantu Kesihatan Awam secara kontrak di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 4,500 sebagai pegawai kontrak pembanci perangkaan di Jabatan Perangkaan dan 1,700 jururawat dan kakitangan sokongan di Kementerian Kesihatan.

Kerajaan turut bercadang menampung kos yuran pengajian dan bahan penyelidikan bagi mereka yang melanjutkan pelajaran di peringkat kedoktoran falsafah (PhD) di dalam negara sebanyak RM20,000 manakala bagi penuntut di peringkat sarjana, sebahagian daripada yuran akan ditanggung oleh kerajaan iaitu sebanyak RM10,000.

Jelasnya, sebanyak 500 tempat disediakan bagi pengajian PhD dan 10,000 bagi pengajian peringkat sarjana di institut pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Tenaga Nasional, Universiti Multimedia dan Universiti Teknologi Petronas.

Selain dari itu, di bawah skim PROSPER, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) akan memperluaskan peluang untuk membuka perniagaan sendiri kepada mereka yang mempunyai sijil kemahiran dan teknikal serta menyasarkan seramai 400 siswazah akan mendapat manfaat daripada program tersebut.

Di bawah program tersebut, mereka yang layak akan diberikan pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000 secara syariah dengan tempoh pembayaran balik sehingga tujuh tahun.

Utusan Online

No comments: