Tuesday, March 24, 2009

Pengambilan pekerja abai calon OKU

SAYA merupakan seorang OKU (orang kurang upaya) yang bergraduan sejak enam tahun lalu. Sejak menamatkan pengajian di salah sebuah IPTA saya terus memohon pekerjaan dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan sama ada secara kontrak mahupun tetap.

Malangnya sehingga kini tiada satu pun jabatan dan agensi kerajaan mahupun badan berkanun yang mahu mengambil saya bekerja. Paling mengecewakan saya langsung tidak pernah dipanggil untuk menghadiri sebarang temu duga.

Adakah pihak-pihak yang terlibat dalam urusan panggilan temu duga ini sengaja menyisihkan permohonan saya kerana status OKU tanpa melihat kemampuan saya yang sebenar.

Jika saya tidak dipanggil menghadiri temu duga bagaimanakah pihak tersebut dapat mengetahui keadaan saya yang sebenar?

Saya OKU cacat anggota tetapi masih mampu berjalan menggunakan kaki palsu, mempunyai lesen memandu dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kami juga seperti manusia normal lain yang teringin bergelar penjawat awam dan menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk kakitangan awam terutamanya pencen untuk hari tua.

Kami juga seperti insan lain yang memerlukan pekerjaan untuk membayar balik pinjaman pelajaran PTPTN dan menanggung kos penyelenggaraan alat bantuan anggota palsu selain mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

Apakah golongan OKU seperti kami ini jauh lebih buruk dan teruk daripada segelintir kakitangan awam yang normal tetapi mempunyai masalah etika kerja, moral dan jenayah.

Sebagai contoh, pada 20 Mac 2009 pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mengiklankan panggilan temu duga bagi jawatan Penolong Pegawai Penerangan (S27) untuk penempatan di Kementerian Penerangan Malaysia.

Nasib malang saya berterusan kerana nama saya tidak ada dalam senarai tersebut sedangkan saya berdaftar memohon jawatan tersebut malah saya memenuhi kesemua syarat dan kelayakan minimum seperti yang diiklankan. Jadi apakah yang dimaksudkan oleh pihak SPA bahawa OKU adalah salah satu golongan yang tidak dikenakan sebarang tapisan temu duga tetapi saya tidak pula dipanggil bagi urusan tersebut.

Adakah pihak SPA akan memberikan jawapan bahawa mereka terpaksa menyisihkan saya semata-mata kerana tidak ada permohonan daripada Kementerian Penerangan Malaysia untuk mengambil OKU mengisi jawatan tersebut?

Dan adakah pihak Kementerian Penerangan begitu pasti bahawa pihaknya telah mengambil kira pengambilan pekerja OKU berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 tahun 2008, atau adakah pihak Kementerian Penerangan sangat pasti jabatan dan agensi di bawahnya telah memenuhi kuota satu peratus pengambilan pekerja OKU?

Mengapakah nasib OKU di Malaysia begitu malang sekali tidak kira sama ada ekonomi meleset atau tidak?

Apakah OKU kekal dianggap seperti tiada harga di mata masyarakat dan sekadar menjadi golongan masyarakat kelas ketiga yang tidak perlu diberikan pekerjaan.

Diharap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr. Ng Yen Yen dan Senator Prof. Dr. Ismail Md. Salleh tolonglah teruskan memperjuangkan nasib golongan OKU untuk mendapatkan pekerjaan.

OKU KECEWA

Kota Kinabalu


Utusan Online

No comments: