Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan kalimah dan rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Allah yang Maha Esa atas perkenannya jua kita dapat berhimpun dalam majlis perjumpaan yang penting ini. Sesungguhnya saya berasa sungguh sukacita kerana hasrat untuk bertemu langsung dan berucap kepada para penjawat awam dalam skala besar ini serta dipancarkan langsung kepada seluruh rakyat Malaysia dapat dilaksanakan.
Kendati itu, sebelum meneruskan ucapan ini, teringat saya kepada kata-kata hikmat oleh George Santayana seorang filusuf kawakan bahawa, orang yang gagal belajar daripada sejarah akan dihukum untuk mengulangi kekhilafan yang lalu. Justeru, sebuah bangsa yang progresif dan dinamik akan sentiasa berpedoman kepada falsafah dari mana mereka datang, di mana mereka sedang berdiri dan ke mana arah tuju mereka seterusnya.
Pepatah Inggeris berbunyi, Time and tide wait for no man. Benar sekali, sesungguhnya, masa terus berguling dan peristiwa silih berganti tanpa menunggu sesiapa pun. Menyingkap tirai sejarah, semenjak meraih kemerdekaan, Malaysia telah dihadapkan dengan pelbagai siri ujian yang telah menggoyah survival negara bangsa.
Bertitik tolak daripada kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi erti kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosio ekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 1969, kemelesetan ekonomi 80-an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an. Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redahi dengan jaya.
Ternyata walau apa pun ranjau dan rintangan yang kita tongkahi, rakyat Malaysia dengan kepimpinan yang bingkas lagi tangkas telah berjaya keluar daripada segala kemelut dan kepayahan yang dialami dengan mencipta penyelesaian demi penyelesaian menurut acuan dan kaedah tersendiri.
Seperkara yang menjadi cap kempa atau hallmark cara Malaysia ialah kita tidak pernah bimbang atau gusar untuk bersikap non konvensional, bereksperimen menggunakan kaedah baru, sekalipun berfikir di luar kotak pemikiran yang lazim. Contohnya, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang berjaya menghapuskan ancaman keganasan komunis secara komprehensif melalui kaedah kreatif memenangi pertarungan minda serta lelubuk hati massa. Berbanding dengan kuasa gergasi dunia seperti Amerika Syarikat dan Perancis yang telah gagal di Vietnam melalui kaedah kekuatan persenjataan semata-mata.
Dalam membangunkan ekonomi negara, kerajaan tidak hanya menghadkan penggunaan kaedah ekonomi pasaran bebas sahaja. Kita juga mengguna pakai kombinasi kaedah central planning dan market economy seperti rancangan pembangunan lima tahun dan pengislahan tanah oleh FELDA. Terbukti, kita tidak pernah takut, tandus atau bersifat terlalu dogmatik untuk mengguna pakai apa-apa wahana yang praktikal demi mendatangkan penyelesaian terbaik kepada Malaysia selama puluhan tahun ini.
Pasca tragedi 13 Mei pula telah menyebabkan banyak pihak meragui kemampuan perjalanan bahtera Malaysia sebagai sebuah negara bangsa apabila demokrasi terpaksa digendala. Namun kita telah berjaya mengesimakan para pengkritik dengan berjaya bangkit semula daripada debu rusuhan perkauman dalam tempoh lapan belas bulan selepas darurat diisytiharkan.
Selain itu, bagi menyelesaikan secara holistik masalah ketidakseimbangan ekonomi kita telah mengambil langkah di luar lingkungan pemikiran ekonomi lazim ketika itu dengan memperkenalkan kaedah equitable distribution of wealth melalui Dasar Ekonomi Baru.
Memang benar, banyak pihak yang was-was mengatakan bahawa ini ibarat dasar ekonomi 'Robin Hood' mengambil dari yang kaya untuk diberi kepada si miskin dan meramalkan ia akan hanya mendatangkan kesan yang negatif kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Namun terbukti sebaliknya. Selama 20 tahun dasar berkenaan berlangsung, pertumbuhan ekonomi telah berkembang dengan ampuh.
Bukan itu sahaja, melalui Dasar Ekonomi Baru kita juga telah berjaya memerangi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat secara tuntas. Alhamdullilah, bukan sahaja kita telah mencipta kelas menengah yang besar tetapi hari ini, hasilnya, kadar kemiskinan yang pernah mencengkam lebih 50 peratus isi rumah di Malaysia telah berjaya kita turunkan di bawah paras 4 peratus.
Apabila kemelesetan ekonomi pertengahan 1980-an menimpa negara pula, akibat harga komoditi dunia yang merudum, kita tidak goyang, sebaliknya telah melancarkan dasar industrialisasi dan pembangunan prasarana secara besar-besaran. Begitulah juga apabila menghadapi krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997 dan 1998, kita telah mencipta kaedah kawalan modal dan tambatan mata wang yang kini menjadi salah satu kes kajian di Harvard Business School.
Kesimpulannya, Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembangunan semenjak kemerdekaan dicapai lebih lima dekad yang lalu. Kita akan meneruskan inisiatif-inisiatif di hadapan keluk bagi memastikan kejayaan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia dalam merealisasikan satu model ekonomi baru berteraskan kreativiti, inovasi dan nilai tinggi yang akan menjamin kelangsungan kemakmuran nasional.
Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.
Kira-kira tiga minggu selepas itu, pada 28 April, saya telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperi kementerian atau agensi kerajaan secara objektif.
Untuk makluman semua, KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisma ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.
Ini kerana kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.
Makanya, pada hari ke-100 pentadbiran saya baru-baru ini, Alhamdulillah, segala syukur ke hadrat Allah, saya telah mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.
Jadi, sebetulnya pentadbiran saya mengambil daya usaha memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam. Puncanya ialah, saya tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh kerajaan. Saya mahukan segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini dimaklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.
Lantas, hari ini saya akan meletakkan KPI kepada enam jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.
Dengan ini saya akan memperincikan setiap satu dari enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang telah saya umumkan tempoh hari.
NKRA PERTAMA: MENGURANGKAN
KADAR JENAYAH
Tentunya sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari semasa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ia berlaku.
Di atas segalanya, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan dipecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:
Pertamanya, jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah 2008.
Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72 peratus daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20 peratus pada penghujung tahun 2010.
Keduanya, yakni dalam hal menambah baik persepsi rakyat terhadap keselamatan awam pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan.
Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaik taraf serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.
Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.
NKRA KEDUA: MEMERANGI RASUAH
Saya ingin tekankan di sini bahawa Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ia terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004. Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.
Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu.
Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.
NKRA KETIGA: MELUASKAN AKSES
KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI
DAN BERKEMAMPUAN
Seperti yang kita semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandel (lilin) penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelangsungannya. Dalam konteks ini saya merupakan seorang pendokong kuat falsafah pendemokrasian pendidikan, bahawa, kita tidak mungkin dapat menjanjikan outcome yang sama namun kita komited dalam menyediakan peluang yang saksama pada garis permulaan. Jelasnya, kita akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosio ekonomi.
Dari itu, dalam bidang pendidikan, saya mahu memastikan anak-anak kita akan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini.
Lalunya, seiringan pesan orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya, Kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
Laginya, suka atau tidak, adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, saya telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.
Golongan yang akses pendidikan prasekolah, kerajaan menyedari hanya 60 peratus sahaja anak-anak kita yang dapat akses pendidikan prasekolah, jadi KPI menjelang 2012 pencapaian ini sekurang-kurangnya dapat dinaikkan kepada 80 peratus.
Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan ingin menawarkan new deal atau satu Bai'ah baru kepada semua pengetua dan guru besar dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
Selain itu, sebagai projek perintis, sebanyak 100 sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebelum penamat 2012.
NKRA KEEMPAT: MENINGKAT TARAF
HIDUP RAKYAT YANG
BERPENDAPATAN RENDAH
Dalam lapangan ini, sememangnya pentadbiran saya bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK-9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripadanya, lebih 11,000 telah disahkan status dan telah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.
Sehubungan ini juga, sebagai kerajaan yang prihatin kita sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat. Kita tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Pokoknya, kita mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, sukacita saya mengumumkan bermula Januari 2010, semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.
Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan tidak dinafikan. Kita juga akur kaum hawa membentuk separuh daripada penduduk Malaysia. Kerana itu, kerajaan berhasrat melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan wanita. Sehingga Jun 2009, seramai 717 wanita yang berpotensi menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar (AIM) telah dikenal pasti.
Justeru, kerajaan menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita kepada 4,000 orang menjelang 2012 melalui program AIM.
NKRA KELIMA: MEMPERKASA
PRASARANA LUAR BANDAR
DAN PEDALAMAN
Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al-Quran, Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa janganlah harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara dan atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir daripada merasai mahsul kemakmuran. Lantaran itu, pentadbiran saya akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman.
Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 kilometer jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500 kilometer atau dua kali ganda perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat 2012.
Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir dua juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, lima kilometer dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.
Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62 peratus. Justeru, kerajaan menetapkan pada akhir RMK-9, liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri itu dipertingkatkan kepada 70 peratus. Kerajaan serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat. Jadi, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan sehingga 90 peratus di Sabah dan Sarawak pada penghujung 2012. Untuk itu, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan bagi kemudahan kepada 60,000 buah rumah.
Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu sekitar 80 peratus berbanding 99 peratus di Semenanjung, kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan di kedua-dua negeri itu kepada 95 peratus pada akhir 2012.
Sejumlah RM3.9 bilion diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 rumah. Kerajaan juga menyasarkan bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir 2012.
Sesungguhnya, kerajaan amat prihatin serta berazam untuk terus membela nasib golongan miskin dan miskin tegar.
Oleh itu, kerajaan berhasrat menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan ini. Sehubungan itu, kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan itu sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.
NKRA KEENAM: MENAMBAH BAIK
PENGANGKUTAN AWAM
DALAM JANGKA MASA SEDERHANA
Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.
Mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, hanya 16 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan menyasarkan peratusan ini ditingkatkan kepada 25 peratus pada penghujung 2012. Namun, kita semua harus menyedari, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaan, saya mengumumkan bahawa menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set "4-car-train" akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.
Demikianlah, secara terperinci hala tuju pentadbiran saya untuk tempoh sehingga 2012. Sesungguhnya saya berasa amat gembira kerana penggubalan NKRA dan KPI bagi anggota pentadbiran dan penjawat awam ini mendapat komitmen penuh daripada semua pihak bermula daripada Timbalan Perdana Menteri, para menteri, KSN, KPPA, KSP, KSU, ICU dan MAMPU.
Semua peringkat anggota pentadbiran dan penjawat awam pun berada pada helaian pemahaman yang sama. Mereka bukan setakat menyokong tetapi yang lebih utama meyakini, inilah kaedah terbaik Malaysia untuk bergerak secara progresif bagi merealisasikan masa depan yang lebih cemerlang.
Malah, saya ingin maklumkan sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, tiga bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Sesuatu yang belum pernah lagi dibuat.
Bengkel-bengkel tersebut tidak lain tidak bukan bagi merangka, memperinci dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.
Sesungguhnya, kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir, rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.
Justeru, saya ingin mengisytiharkan bahawa bagi setiap NKRA seorang menteri akan dilantik sebagai Lead Minister atau Menteri Pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Bagi NKRA Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Dan Berkemampuan, Menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin; NKRA Mengurang Kadar Jenayah, Menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, NKRA Memerangi Rasuah, Menterinya Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.
Sementara NKRA Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah, Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; NKRA Memperkasa Prasarana Luar Bandar Dan Pedalaman, Menterinya Datuk Seri Shafie Apdal dan NKRA Menambahbaik Pengangkutan Awam, Menterinya Datuk Seri Ong Tee Keat.
Di atas semuanya, selaku Perdana Menteri saya akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI. Setiap minggu saya akan berjumpa dengan seorang Lead Minister bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti direncanakan.
Bagi anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA, mereka dan kementerian masing-masing tidak terkecuali daripada mempunyai KPI. Setiap Menteri selain daripada enam Lead Minister tadi tetap dipertanggungjawab mencapai KPI kementerian masing-masing. Saya sendiri akan memantau prestasi kementerian-kementerian tersebut pada setiap enam bulan.
Diakui pengenalan NKRA dan KPI ini bukanlah perkara baru namun the breadth and depth of the initiative yang ditekankan oleh pentadbiran sekarang adalah sesuatu yang unprecedented dan menjadi satu tanda aras yang terkini. Selain itu, sesuai dengan pengumuman ketika merasmikan perjumpaan bersama perkhidmatan awam mengenai cross fertilization, suka saya mengumumkan bahawa 20 nama kakitangan kerajaan dan 20 kakitangan GLC telah dikenal pasti untuk ditempatkan dalamprogram ini dijadualkan bermula 1 September ini.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Khazanah Nasional kerana sumbangan dalam membangunkan NKRA dan KPI ini. Saya gembira kerana di antara anggota pentadbiran, penjawat awam dan GLC, telah wujud satu bentuk pertautan atau seamless cooperation sebagai pemangkin kejayaan Malaysia.
Akhir kalam, sebagai ketua kerajaan saya insaf bahawa yang akan menilai kepemimpinan ini akhirnya adalah rakyat. Apa yang pasti saya dan rakan-rakan telah, sedang dan akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sehabis baik dan sedaya mampu.
Saya sedar apa yang saya gariskan hari ini adalah sesuatu yang monumental. Ia melibatkan komitmen mendalam dan tuntutan yang tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif.
Nyatanya, amanah yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ia sukar. Jelas sekali kita tidak mempunyai pilihan, sama ada kita bergerak maju ke depan dengan penuh yakin atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit ini.
Kata orang dulu-dulu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan boleh mendapat sagunya. Marilah bersama menghitung doa ke hadrat Allah yang Maha Kuasa agar kita diberi kekuatan dan ketabahan untuk melunaskan rancangan mulia ini. 1Harapan, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Utusan Online