Monday, July 13, 2009

Kakitangan awam jauhi rasuah

KUCHING 12 Julai - Kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini diminta supaya mengambil inisiatif dan memberi sepenuh komitmen untuk menyelesaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan segera.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kelewatan akibat sikap mengambil mudah, berlengah dan menangguhkan kerja akan memberi peluang kepada pegawai yang tidak jujur untuk melakukan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Beliau berkata, setiap ketua jabatan dan pemimpin di Sarawak juga perlu memastikan tidak berlaku kepincangan di dalam agensi masing-masing yang boleh mengundang kepada amalan rasuah.

''Sehubungan itu, kita mestilah mengekalkan faktor-faktor keutuhan untuk dijadikan benteng dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anti Rasuah Sarawak 2009 bertempat di Padang Merdeka di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah SPRM Sarawak, Shamsiah Abu Bakar.

Abdul Taib memberitahu, usaha pembanterasan rasuah akan lebih berkesan sekiranya ditangani secara menyeluruh, bersepadu dan terancang serta merangkumi aspek-aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan masyarakat.

Namun katanya, usaha itu tidak akan berkesan tanpa sokongan dan kerjasama daripada setiap lapisan masyarakat yang menjadi benteng kepada penghapusan gejala rasuah di negeri ini.

''Kesan buruk jenayah rasuah bukan sahaja akan merosakkan pelakunya sahaja malah akan meruntuhkan negara itu sendiri," tegas beliau.

Abdul Taib berkata, menjadikan Malaysia sebagai negara maju, tumpuan mewujudkan pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam yang cekap, berdisiplin serta mempunyai integriti yang tinggi perlu dilakukan bagi mencapai matlamat tersebut.

Beliau menambah, kewujudan pentadbiran awam yang berintegriti tinggi dan cekap sebelum ini membantu negara keluar daripada masalah kegawatan ekonomi bahkan meningkatkan ekonomi negara.

Utusan Online

No comments: