Semalam genap 100 hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin negara ini dan beliau telah membuktikan hanya dalam tempoh berkenaan banyak perubahan telah dilakukan demi untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Berikut adalah ucapan beliau sempena “100 hari Perdana Menteri bersama rakyat” yang diadakan di Exhibition Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semalam.
__________________________________________________________________________
Sesungguhnya hari ini adalah hari rakyat Malaysia, rakyat 1Malaysia sebab itulah sempena seratus hari saya memegang teraju pemerintahan negara saya mempunyai opsyen atau pilihan.
Mula-mula saya fikir elok saya buat ucapan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara siaran langsung tetapi bila saya fikir punya fikir kalau buat siaran langsung tidak ada di sisi rakyat maka saya tidak dapat mengiyakan konsep rakyat didahulukan.
Maka timbul cadangan supaya kita adakan satu perhimpunan yang bukan sebarangan perhimpunan tetapi satu perhimpunan yang bercorak yang mencerminkan dokongan 1Malaysia.
Satu perhimpunan yang mana kita tidak mementingkan duduk di mana kita tidak pentingkan soal protokol kita tidak penting ada kompang ada bunga manggar tetapi yang penting kita dapat bersama-sama dengan rakyat Malaysia.
Dan hari ini saya bersama rakyat saya melihat di dalam himpunan ini tidak ada batas antara kita menteri duduk bertimpuh di bawah.
Ternyata masa bergerak dengan sungguh pantas. Kira-kira seratus hari yang lalu, bersamaan 3 April, pada tarikh lantikan sebagai Perdana Menteri saya telah tampil menggariskan hala tuju pentadbiran kerajaan.
Dalam tempoh sebelum-sebelum ini saya telah banyak membuat ketetapan dan siri pengumuman berkisarkan usaha seperti merangsang ekonomi, langkah-langkah peningkatan daya saing negara dan inisiatif menarik minat pelabur asing, membebaskan tahanan-tahanan ISA dan beberapa inisiatif lain.
Namun, pada pagi yang ceria ini, saya mahu menumpu dan memberi fokus untuk bercakap tentang hal ehwal rakyat. Ucapan ini adalah ucapan yang cakna terhadap aspirasi rakyat Malaysia. ‘‘Hari ini merupakan hari yang membincangkan soal rakyat Malaysia’’. Teringat saya pantun orang tua-tua kita ‘‘Kalau tidak kelapa Puan, tidak juga kelapa bali, kalau tidak kerana tuan-tuan dan puan-puan, manakan saya berada di sini’’.
Jika diimbas, sejak mula mengambil alih pucuk pimpinan negara, saya telah menggagaskan pentadbiran kerajaan dipaksikan atas konsep 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa konsep 1Malaysia dan mengapa ia menjadi landasan pentadbiran saya?
Jawapannya mudah, kerana, bagi saya kita adalah satu keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya mahu pun kepercayaan. Justeru, setiap warga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan maju atau mundur, berjaya atau gagal negara yang tercinta ini. Hakikatnya, sama ada kita orang Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Bidayuh, Orang Asli, kaum-kaum lain termasuk orang keturunan Siam yang menetap di sini adalah penting untuk kejayaan Malaysia.
Sebagai seseorang pemimpin saya boleh memilih pendekatan untuk duduk dan menunggu di bilik berhawa dingin dalam pejabat untuk mendengar taklimat atau sekadar menerima laporan yang belum tentu pasti ceritanya. Pada saya seorang pemimpin akan lebih dianggap prihatin dan berjiwa rakyat kalau kita sanggup sanggup turun ke bawah dan melihat dengan mata kepalanya sendiri penderitaan rakyat, mendengar rintihan, keluh kesah juga merasai gundah gulana mereka sekali gus mampu meresapi denyutan nadi rakyat yang dipimpinnya.
Sebab itu saya ambil pendekatan tinjauan mesra, jadi bermulalah pendekatan tinjauan mesra.
Lantas, saya telah turun padang bermula hari kedua saya menjadi Perdana Menteri untuk membuat tinjauan-tinjauan mesra. Ia bermula di Petaling Street untuk melihat keadaan peniaga-peniaga Cina kita.
Di sana, mereka memohon agar bumbung utama digantikan dan ditambah bumbung kepada gerai-gerai individu. Hasilnya, pada Isnin ini Menteri Wilayah Persekutuan akan mengumumkan perincian projek penggantian dan tambahan bumbung berkenaan.
Saya kemudian telah membuat tinjauan mesra ke pangsapuri Vista Angkasa kawasan Kerinci. Saya terkejut melihat keadaan suram dengan bangunan yang hitam. Masalahnya, bukan hitam manis tapi hitam kusam. Lebih mengejutkan saya lifnya berada dalam keadaan uzur. Mereka mengadu lif itu selalu rosak. Hal ini sungguh membuatkan saya berasa simpati dan terus mengarahkan tindakan diambil untuk pembaikan. Hasil tinjauan ini, saya boleh melaporkan bahawa 65 peratus kerja-kerja pembersihan dinding dan cat asas selesai, 95 peratus kerja mengecat bangunan parking selesai, 100 peratus kerja penyambungan kabel telefon di blok 2, 5 dan 8 selesai manakala kerja-kerja membaiki lif akan dimulakan dalam waktu yang terdekat.
Kemudian pula saya ke Brickfields pula bagi meninjau kebajikan peniaga-peniaga India. Mereka telah memajukan kepada saya permohonan untuk menambah baik prasarana di kawasan tersebut. Kita menyambut baik hasrat rakyat ini dan telah bersetuju bahawa kawasan ini nanti akan dibangunkan sebagai Little India yang lebih terancang.
Apa yang menarik, semasa di sana saya telah berkesempatan untuk menikmati teh tarik dan makan tosai di Restoran Sri Kortumalai. Saya cukup terharu apabila mengetahui bahawa tauke restoran iaitu Encik S. Paramasivam yang cekap dalam pemasarannya. Beliau menamakan sudut tempat saya minum itu sebagai Najib’s Corner.
Saya juga telah pergi untuk tinjauan mesra di Puduraya setelah mendengar rungutan ramai pihak sejak sekian lama mengenai pelbagai kemelut yang melanda nadi pengangkutan awam rakyat ini. Saya menyaksikan sendiri bagaimana keadaan bangunan yang sangat daif dan tidak selesa bukan sahaja untuk para penumpang tetapi juga syarikat-syarikat pengangkutan dan para peniaga yang telah beroperasi selama puluhan tahun. Keputusannya, saya telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM44 juta yang mana RM30 juta ialah untuk UDA bagi membaik pulih bangunan dan RM14 juta lagi untuk Kementerian Wilayah untuk menceriakan kawasan sekeliling Puduraya. Hasilnya, hari ini sudah jauh bertambah elok dari keadaan terdahulu.
Selanjutnya saya juga telah berkunjung ke Kampung Picin, Batang Ai, Lubuk Antu, Kampung Bintawa dan pasar malam di Sibu, Sarawak. Saya berkunjung ke Pasar Kraf dan Pasar Besar di Kota Kinabalu. Setiap tempat yang saya lawat, saya telah meluluskan peruntukan bagi memenuhi kehendak rakyat.
Terbaru saya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama anak-anak kita yang baru mendaftar. Saya dan isteri meluangkan masa bersenam dan melawat asrama serta tempat mereka belajar untuk melihat sendiri keadaan sebenar yang dirasai oleh para pelajar institusi pengajian tinggi. Itulah antara siri tinjauan mesra saya. Ternyata siri tinjauan ini telah membolehkan saya secara langsung menyelami sendiri aspirasi dan keprihatinan rakyat di luar sana.
Dari itu Alhamdulillah, dengan rahmat yang Maha Esa jua, genaplah 100 hari ini, saya menjunjung amanah sebagai Perdana Menteri dan sekali lagi saya berdiri dengan penuh sukacita melaporkan beberapa kemajuan perkara yang telah dirancang dan sedang dilakukan sejak hari yang pertama. Segala rencana dan susunan agenda itu merangkumi pertamanya: Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi, keduanya: Hak asasi manusia dan kebebasan media serta ketiganya: Peningkatan kecekapan penjawat awam juga keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatannya.
Seterusnya pula, seawal memegang tampuk pentadbiran tertinggi negara, saya telah mengumumkan KPI atau Indeks Petunjuk Prestasi bagi rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan. Tujuan saya mewujudkan KPI bagi anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam ini adalah untuk memastikan terdapat garis panduan jelas kepada kedua-dua penggubal dan pelaksana dasar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Ia juga menyediakan landasan yang jelas kepada rakyat untuk menilai prestasi mereka.
Baru-baru ini pula, demi untuk mencapai matlamat KPI tersebut dengan lebih berkesan saya telah menggariskan NKRA atau bidang-bidang keberhasilan utama nasional yang meliputi 6 lapangan:
*Mencegah Jenayah.
*Memerangi Rasuah.
*Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
*Meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah.
*Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman.
*Menambahkan baik Pengangkutan Awam sebagai jangka masa sederhana.
Sesungguhnya, semua yang digagas dan dirangkakan ini, tidak lain dan tidak bukan untuk menjayakan kerangka maksud 1Malaysia. Sudah menjadi lumrah alam, tentu ada yang menyokong dan tentu ada yang menentang.
Waima apa pun, sebagai Perdana Menteri untuk semua saya berpegang teguh pada prinsip bahawa tugas besar ini adalah satu amanah daripada rakyat. Makanya, saya akan terus berusaha sedaya mungkin dan menyingsing kudrat untuk mencari penyelesaian-penyelesaian seraya membuat keputusan-keputusan demi kepentingan tuan-tuan dan puan-puan.
Ertinya, sebagai Perdana Menteri yang dipilih, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada kebajikan tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, saya sentiasa bersikap objektif melaksanakan semua tugas mulia ini dengan penuh ketetapan. Jika tidak, negara dan rakyat akan terumbang ambing dengan ketidakpastian. Malah dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan saya tidak membuat sesuatu secara berwenang-wenang jauh sekali secara semberono.
Lantaran itu, melihat kepada tuan-tuan dan puan-puan, berkumpul dalam dewan ini, rata-rata terdiri daripada segenap lapisan masyarakat, ditambah dengan ratusan wajah anak-anak cilik di depan saya, seakan meresap dan bersemarak ke seluruh anggota satu semangat dan keyakinan yang membumbung bahawa apa yang kita sedang gemblengkan ini bukanlah satu angan-angan atau fatamorgana.
Tugas kita adalah amat besar. Kita haruslah membina Malaysia di mana semua anak-anak kita mempunyai peluang untuk mengoptimumkan potensi masa depan mereka. Malaysia, di mana setiap anak-anak kita merasakan mereka dihargai dan mempunyai peluang untuk hidup berjaya di hari muka. Kerana merekalah sebenarnya generasi 1Malaysia.
Dalam hal ini juga saya ingin tegaskan, tidak ada rakyat kelas kedua atau ketiga. Semua berhak mendapat peluang yang sama sekiranya betul-betul berkebolehan. Kerana itulah, kita kini ingin mengiktiraf the best and the brightest. Saya beraspirasi mencipta satu sistem untuk mengiktiraf yang terbaik dan berbakat di kalangan anak-anak muda kita.
Hakikatnya, alangkah malang jika ada anak Malaysia terpaksa berhijrah untuk bakatnya di iktiraf. Alangkah ruginya negara kita. Oleh itu apa yang saya ingin katakan di sini adalah, kita boleh menyedia dan menjanjikan garis pemula yang sama tetapi mana mungkin kita dapat menghamparkan hasil pengakhiran yang sama. Maka dengan yang demikian, terpulanglah kepada rakyat Malaysia untuk merebut peluang yang terbentang.
Kendatipun, negara sedang berada di dalam kemelut ekonomi yang diakibatkan kemelesetan global tidak bermakna kita harus putus asa dan menyerah kalah dengan situasi. Pentadbiran saya komited untuk meringankan sedikit sebanyak beban yang sedang ditanggung oleh tuan-tuan dan puan-puan di samping menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pemulihan di peringkat kebangsaan.
Sehubungan dengan itu suka saya mengumumkan beberapa langkah yang akan kita ambil bagi membolehkan beban rakyat dikurangkan, kesejahteraan rakyat dipastikan dan kemakmuran negara dikongsi oleh semua.
Pengumuman pertama - Setelah mendengar rintihan rakyat yang menggunakan tol malah ada yang memberitahu saya yang dia pergi ke tempat kerjanya dengan bayaran tol hampir RM300 sebulan. Saya tanya berapa gaji, dia kata RM3,000 maknanya gajinya hanya 11 bulan dan bukan 12 bulan kerana satu bulan membayar tol.
Untuk itu kerajaan bersetuju memberi diskaun 20 peratus kepada pengguna kad pra bayar SmartTag dan Touch ‘N yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan. Pemberian diskaun ini adalah sebagai langkah sementara dan akan bermula pada 1 September 2009. Pengguna yang layak boleh menuntut diskaun tersebut semasa membuat tambah nilai di 136 Point of Sales (POS) di lebuh raya utama dan di Ibu Pejabat Touch ‘n Go Sdn. Bhd. Dalam tempoh enam bulan selepas itu, kemudahan ini boleh didapati di mesin-mesin ATM dan stesen minyak utama atau agen yang dilantik di Semenanjung Malaysia.
Program Perumahan Rakyat:
Pengumuman kedua: kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendiami rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki.
Namun dasar semasa di Wilayah Persekutuan hanya membenarkan mereka menyewa rumah-rumah ini. Bagi mengatasi masalah ini kKerajaan bersetuju membenarkan rumah-rumah tersebut dibuka untuk penjualan bagi penghuni yang sedang menyewa. Jumlah rumah yang ditawarkan untuk tujuan penjualan ini adalah sebanyak lebih kurang 44,000 unit.
Peniaga dan penjaja kecil:
Pengumuman ketiga - Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan semua 69,000 penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50 peratus kepada pembaharuan dan lesen baru mereka yang berkuatkuasa serta merta. Ini bukan sedikit jumlah potongannya, ia melibatkan antara RM10 hingga RM700 setahun. Jadinya, saya menyeru agar kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga mengambil langkah yang sama.
Pengumuman keempat - Secara umumnya ke seluruh Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta untuk skim TEKUN bagi faedah peniaga dan penjaja kecil. Manakala RM15 juta lagi diperuntukkan khusus untuk kegunaan masyarakat India melalui program pembangunan usahawan muda mereka.
Pengumuman kelima - Penambahan pengeluaran permit teksi. Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menambah permit teksi kepada individu. Setakat ini kerajaan telah memberikan lebih 7,000 permit teksi individu . Di sini, saya umumkan, jumlah permit ini akan ditambah sebanyak 3,000 lagi dalam masa tiga bulan akan datang.
Kementerian Dalam Negeri (KDN):
Pengumuman keenam-Mencegah Jenayah dan memerangi rasuah. Dalam hal ini, kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah yang berleluasa seperti ragut dan pencurian kenderaan. Perincian langkah-langkah pencegahan konkrit akan diumumkan pada penghujung bulan ini.
Pendaftaran Kelahiran:
Pengumuman ketujuh-Bersangkutan pendaftaran kelahiran. Saya sedar pendaftaran kelahiran merupakan satu isu yang dekat di hati rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, piak Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat didaftarkan dengan kadar segera.
Untuk Sabah, semenjak 2005 sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah tersebut 92 peratus telah diluluskan. Manakala di Sarawak, semenjak tahun 2005 sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, 80 peratus permohonan telah diluluskan.
Untuk itu, saya mahukan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) khususnya di Sabah dan Sarawak akan terus diperkemas bagi memberi bantuan dan kemudahan yang lebih luas kepada penduduk di pedalaman untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka.
Pengumuman kelapan - Kewarganegaraan, dalam hal kewarganegaraan, untuk makluman, jumlah permohonan yang tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000. Sehingga Jun 2009, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan. Usaha untuk menyelesaikan baki permohonan yang belum diputuskan akan dipergiatkan lagi dengan sasaran penyelesaian sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, pihak Kerajaan juga akan menyegera dan mempertimbangkan permohonan Permit Masuk untuk membolehkan pemohon mendapat taraf Penduduk Tetap. Sehingga 2008, sebanyak 34,000 permohonan Permit Masuk diterima oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan sebanyak 41 peratus telah diluluskan.
Infrastruktur Luar Bandar:
Pengumuman kesembilan - Kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak daripada 750 kilometer yang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-9 kepada 1,500 kilometer dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 dan di Semenanjung Malaysia, kerajaan akan meningkatkan pembinaan rangkaian jalan demi kemudahan rakyat. Bersangkutan liputan bekalan air yang boleh diminum kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak. Liputan ini akan ditambah menjadi sekurangnya 80 peratus menjelang tahun 2015. Manakala, penekanan yang sama juga akan diberikan kepada liputan bekalan elektrik.
Pengumuman kesepuluh- Saya dapati kos mendapatkan lesen memandu (B2) adalah tinggi iaitu di antara RM500 sehingga RM700. Sehubungan ini sebagai kerajaan yang memahami naluri anak muda, kita memutuskan untuk membantu secara keseluruhan pengguna motosikal mendapatkan lesen memandu mereka dengan mengurangkan kadar bayaran belajar dan kadar lesen memandu. Ini tidak akan menjejaskan kompitensi di mana ujian kelayakan masih lagi dikekalkan. Saya gembira, institut memandu menyambut baik hasrat kerajaan dan telah bersetuju mengurangkan caj bayaran latihan kepada sebanyak RM211. Inisiatif baru ini akan berkuatkuasa mulai 1 September 2009 sempena bulan kemerdekaan.
Penumuman kesebelas - Dalam rangka untuk meratakan kemakmuran Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk Skim Amanah Saham Wawasan terutamanya bagi golongan miskin tegar di bandar. Skim ini bertujuan untuk meringankan bebanan mereka terutama di hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak. Menjelang 2010, seramai 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih.
Selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk melabur, kerajaan telah bersetuju bagi PNB untuk menubuhkan satu lagi tabung unit amanah baru iaitu ‘‘Amanah Saham 1Malaysia (AS 1MALAYSIA)’’. Tabung unit amanah baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini akan dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan akan mempunyai saiz sehingga 10 billion unit tertakluk kepada permintaan semasa.
Penubuhan tabung unit amanah baru pada ketika ini adalah sesuai selaras dengan jangkaan pemilihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini. Tabung ini dijangka akan memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang.
Akhir kalam, sesungguhnya langkah-langkah yang saya umumkan dalam tempoh 100 hari ini hanyalah langkah-langkah pemula dalam perjalanan kita ke arah masa depan yang lebih baik, makmur dan terjamin. Perjalanan kita ini ibarat sebuah sungai. Sama ada yang memimpin atau dipimpin semuanya mengalir ke arah yang sama. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak sekalian untuk bersama-sama melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment