Friday, July 17, 2009

Pandang serius terhadap aduan awam

JITRA 16 Julai - Para penjawat awam perlu memandang serius terhadap aduan-aduan awam yang diterima dan bukan hanya menganggap ia sebagai perkara kecil yang kurang penting.

Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA) Pulau Pinang, Kedah dan Perlis Jabatan Perdana Menteri, Md. Din Jusoh berkata, anggota masyarakat sentiasa mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada agensi awam dalam sebarang urusan yang mereka lakukan.

Katanya, mereka berhubungan dengan penjawat awam kerana perkhidmatan tertentu hanya boleh diberikan oleh agensi awam sahaja.

"Oleh itu sebagai anggota sektor awam, kita perlulah sentiasa berusaha memperbaiki meningkatkan perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) di Dewan Utama, Pejabat Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Md. Shuhaime Ab. Rahman sebagai mewakili Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Che Barni Mohd. Noor.

Md. Din berkata, penjawat-penjawat awam boleh menjadikan aduan yang dikemukakan oleh orang ramai sebagai kayu pengukur dalam menilai mutu perkhidmatan yang telah diberikan, sama ada ia memuaskan atau sebaliknya.

Menurutnya, berpandukan kepada aduan-aduan yang diterima, BPA mendapati masih terdapat kekurangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam.

Katanya, keadaan itu jika tidak ditangani dengan baik atau dibiarkan berterusan boleh menimbulkan masalah lain dan menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada tahun lalu, BPA Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menerima sejumlah 128 aduan bagi negeri ini yang mana kesemua aduan berkenaan telah diselesaikan.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, katanya, sebanyak 121 kes aduan telah diterima dan jumlah itu menunjukkan peningkatan dipercayai kerana program turun padang yang dianjurkan oleh BPA.

"Insya-Allah, BPA dengan bantuan daripada jabatan negeri dan Persekutuan akan cuba menyelesaikan aduan-aduan yang diterima ini secepat mungkin," katanya.

Utusan Online

No comments: