Wednesday, July 29, 2009

Masih Pembantu Tadbir selepas 33 tahun berkhidmat

SAYA rasa terpanggil untuk meluahkan perasaan saya pula apabila terbaca luahan hati Kerani Setia 1981 dalam ruangan ini pada 26 Jun 2009.

Seperti juga Kerani Setia 1981, saya juga sangat gembira dan teruja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan kenaikan pangkat anggota kumpulan sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun ke atas mulai 1 Julai 2009. Saya menjangkakan peluang saya mungkin lebih cerah kerana telah berkhidmat lebih daripada 33 tahun. Malah saya berkata kepada diri saya, “Akhirnya dapat juga gaji tingkatan kanan sebelum saya bersara.”

Sayangnya harapan saya hancur dan kecewa apabila JPA memaklumkan bahawa saya tidak layak kerana lulus PTK pada tahap II sahaja walaupun telah berkhidmat lebih 33 tahun. Dengan ini apa yang Perdana Menteri kita umumkan pada 14 Mei 2009 sempena Hari Pekerja Sektor Awam lalu, tiada memberi apa-apa makna buat orang tua yang hampir bersara seperti saya kerana syarat kenaikan pangkat itu masih menggariskan beberapa syarat lama untuk dipenuhi.

Kalau Kerani Setia 1981 berusia 53 tahun saya pula hampir 55 tahun. Dengan kelulusan MCE tahun 1973 saya telah dilantik sebagai Pegawai Kerani Am di pelbagai Jabatan Persekutuan pada 1 Januari 1976. Saya telah lulus Peperiksaan Perkhidmatan Pertama (1976) dengan sekali ambil. Manakala untuk melepasi sekatan kecekapan saya telah lulus Peperiksaan Perkhidmatan Kedua (1979).

Pada tahun 70-an Pegawai Kerani Am yang telah berkhidmat lebih daripada lapan tahun dan telah lulus semua peperiksaan adalah layak dipertimbangkan untuk jawatan Pegawai Kerani Kanan (ketika itu dikenali sebagai kerani besar atau CC).

Sayangnya waktu itu perkhidmatan saya belum cukup lapan tahun. Sekarang ini pula telah lebih dari 33 tahun perkhidmatan, saya didapati tidak layak pula kerana PTK hanya lulus tahap II sahaja.

Sebagai makluman, saya telah berkhidmat di pelbagai Jabatan Persekutuan dan pernah ditugaskan sebagai Kerani Kewangan, Kerani Pendaftaran, Kerani Perangkaan, Kerani Setor, Kerani Perkhidmatan, Kerani Audit dan terkini Kerani Kaunter. Manakala aktiviti luar menjadi bendahari kelab jabatan, juga wakil pejabat dalam sukan. Di peringkat aktiviti masyarakat, menjadi setiausaha JKKK, pengerusi kawasan Rukun Tetangga (KRT), ahli lembaga masjid dan juga setiausaha surau.

Sepanjang perkhidmatan, saya belum pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib walaupun di peringkat paling minimum dan seingat saya kad kedatangan warna hijau sekalipun belum pernah saya perolehi. Disebabkan terlalu komited terhadap tugas, saya terlepas menduduki PTK dan hanya dapat menduduki PTK pada tahun 2007 dengan kelulusan pada tahap 11 sahaja.

Saya rasa agak tidak bernasib baik kerana kebanyakan penyelia saya, Pegawai Penilai Pertama (PPP1) adalah terdiri daripada golongan hawa yang begitu lokek untuk memberi markah prestasi (LNKP) lebih daripada 90 peratus. Disebabkan itu saya tidak berupaya untuk mendapat anjakan gaji secara melintang mahupun secara menegak. Saya pula bukan golongan yang pandai mengampu, jauh sekali untuk merayu meminta pergerakan gaji melintang atau menegak. Pada saya jika penyelia merasakan saya seharusnya dinaikkan pangkat atau menerima apa-apa anugerah cadangkanlah, bukannya saya meminta dicadangkan diri saya sendiri.

Memandangkan perkhidmatan hanya tinggal dua hingga tiga tahun lagi dan untuk memujuk hati yang kecewa, saya perbanyakkan mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Sekurang-kurangnya saya masih mempunyai pekerjaan dan mempunyai rekod bersih. Kalau umur panjang saya akan bersara pada usia 58 tahun pada 2013 dengan jumlah tahun perkhidmatan selam 37 tahun tanpa apa-apa anugerah, sama ada kenaikan pangkat atau anjakan gaji melintang mahupun menegak walau satu kali pun. Mungkin juga pingat khidmat lama (PKL) saya gagal perolehi, kerana kegagalan mencalonkan diri sendiri.

Rasanya tidak ramai yang senasib dengan saya. Justeru dapatlah kiranya pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenal pasti mekanisme lain dalam menentukan syarat untuk mereka yang senasib dengan saya untuk turut berpeluang merasai kenaikan pangkat tersebut. Pengalaman kerja lebih dari 33 tahun, telah lulus semua peperiksaan jabatan sebelum PTK wujud, hal-hal yang di luar jangkaan dan menghampiri usia persaraan boleh dijadikan ukuran.

Sekurang-kurangnya berilah mereka peluang. Panggillah mereka untuk ditemuduga dan lihatlah kebolehan dan keupayaan yang mereka ada. Saya tidak kisah dan reda jika setelah ditemuduga, saya didapati masih tidak layak untuk apa-apa anugerah atau kenaikan pangkat. Mungkin sudah suratan takdir.

Mengharap,
Bukit Senjuang, Melaka

Utusan Online

No comments: