Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my
GABUNGAN Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan hukuman dalam Perintah Am, Bab D - Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993, khususnya berkaitan pemberhentian kerja penjawat awam.
Presidennya, Omar Osman, berkata kajian semula ke arah penambahbaikan itu amat penting untuk memastikan tindakan tatatertib diambil terhadap penjawat awam adalah adil dan saksama. Ini bagi mengelak penganiayaan atau sehingga mencetuskan perasaan ‘dendam’ terhadap kerajaan. Katanya, antara aspek utama perlu diberi penekanan dalam kajian semula itu ialah kehilangan segala hak dan faedah secara mutlak termasuk pencen, perubatan, gratuiti, ganjaran cuti terkumpul serta kemudahan lain apabila seseorang penjawat awam diberhentikan kerja akibat kesalahan tatatertib.
Beliau berkata, ada kes pemberhentian kerja membabitkan penjawat awam yang sudah berkhidmat 30 tahun malah mungkin pernah memperoleh anugerah kecemerlangan ketika bertugas serta mempunyai jumlah cuti terkumpul yang banyak.
“Apabila seseorang penjawat diberhentikan, dia mengalami kerugian besar kerana kehilangan mutlak segala hak dan faedahnya sebagai anggota perkhidmatan awam. Lebih menyedihkan, ada kes membabitkan penjawat awam yang hanya tinggal dua tahun untuk bersara wajib atau sudah mempunyai jumlah cuti terkumpul sebanyak 120 hari.
“Keadaan tanpa sebarang pampasan itu akan mengakibatkan permasalahan besar kepada keluarga, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai anak kerana beban kewangan seperti mungkin ada hutang yang masih belum selesai.
“Oleh itu, sekurang-kurangnya gratuiti serta ganjaran cuti yang dikumpulkan sepanjang tempoh berkhidmat patut dibayar dan tidak dikaitkan dengan pemberhentian kerja kerana ia adalah hasil keringat mereka sebelum berlaku kesalahan tatatertib,” katanya.
Omar berkata, Cuepacs memandang berat aspek itu kerana bimbang penjawat awam yang dibebani kesukaran mendadak akibat diberhentikan kerja akan `berdendam’ terhadap kerajaan sehingga mungkin bertindak membuat hasutan.
“Hasrat Cuepacs ialah supaya seseorang penjawat awam yang diberhentikan kerja namun masih taat setia kepada kerajaan kerana hukuman dikenakan bukanlah secara mutlak, sebaliknya masih ada pertimbangan.
“Dengan itu, penjawat terbabit akan lebih dapat menerima hakikat hukuman dan mengakui kesalahan yang dilakukan kerana kerajaan tetap menghargai perkhidmatan selama ini dengan pemberian imbuhan untuk meringankan beban.
“Bagaimanapun, kehilangan faedah pencen, perubatan dan kemudahan lain serta tidak boleh lagi berkhidmat dalam sektor awam adalah hukuman setimpal,” katanya.
Berdasarkan statistik sektor awam tahun lalu, Omar berkata, kira-kira 380 kes pemberhentian kerja akibat pelbagai kes kesalahan tatatertib, termasuk tidak hadir bertugas tanpa cuti selama tujuh hari berturut-turut.
Dalam konteks ini, beliau berkata, penjawat yang melakukan kesalahan tidak hadir bertugas tanpa cuti selama tujuh hari berturut-turut wajar dipanggil untuk membela diri dalam panel lembaga tatatertib sebelum penetapan keputusan memberhentikan kerja.
Katanya, ini supaya mereka berpeluang menjelaskan permasalahan atau punca sebenar kejadian itu kerana mungkin berlaku kes kecemasan tertentu yang tidak dapat dielakkan tetapi peruntukan cuti sudah habis.
Penjawat yang melakukan kesalahan tatatertib akan diberi surat tunjuk sebab dan keputusan memberhentikan kerja hanya dibuat berdasarkan jawapan dalam surat itu tanpa dipanggil berjumpa dengan panel lembaga tatatertib.
"Ini tidak adil kerana ada sebilangan penjawat yang kurang arif menjawab surat tunjuk sebab dan mungkin ada kes teraniaya. Tambahan pula, lazimnya 90 peratus kes rayuan gagal".
"Sehubungan itu, Cuepacs meminta kerajaan mengkaji semula supaya hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan kerana perkara ini memang banyak dipersoalkan dan mencetus perasaan tidak puas hati".
“Cuepacs mencadangkan supaya setiap penjawat awam yang menghadapi tuduhan kesalahan tatatertib mesti dipanggil ke dalam lembaga tatatertib dan dibicarakan secara adil dan juga saksama, bukan keputusan dibuat berdasarkan surat tunjuk sebab saja. Selain itu, wajar dilantik pemerhati seperti di kalangan wakil kesatuan,” katanya.
Lebih memeritkan, Omar berkata, ada segelintir ketua jabatan menggunakan ancaman `hukuman tatatertib’ sebagai senjata gertakan untuk melakukan suatu tugas ke atas kakitangan bawahan.
Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku ketika kerajaan dalam proses mentransformasi sektor awam ke arah kualiti kerja, produktiviti dan sistem penyampaian terbaik kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.
Katanya, Cuepacs sudah menetapkan dalam Sasaran Kerja Tahunan 2010 untuk meneliti semula Perintah Am, Bab D berkenaan, meliputi dari segi relevan dan kesesuaian dengan perkembangan semasa.
“Cuepacs akan mengadakan bengkel bagi tujuan ini, dijangka Februari tahun depan membabitkan penyertaan pihak seperti ahli dalam bidang perundangan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment