Wednesday, March 10, 2010

Kenaikan Gred 54 pegawai perubatan, pergigian, farmasi dipercepatkan; Skim khidmat pensyarah IPTA, perguruan dikaji

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kajian dan pelan penambahbaikan laluan kerjaya membabitkan peluang kenaikan pangkat pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan serta pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perguruan.

Malah, Perdana Menteri turut mengarahkan kajian komprehensif dilakukan terhadap penggunaan sistem 'pool' yang dianggap sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum penjawat awam. Kajian mengenai skim perkhidmatan pensyarah dan sistem pool itu diumumkan Najib pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, manakala pelan penambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diperincikan dalam satu kenyataan, petang semalam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah mengkaji dan menyediakan pelan laluan kerjaya untuk pegawai perubatan, pergigian dan farmasi secara komprehensif dari gred lantikan hingga ke Gred 54 yang akan membabitkan perbelanjaan tambahan RM200 juta setahun.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan bertujuan menambah baik laluan kerjaya pegawai dalam kumpulan itu supaya berpeluang meningkat hingga ke Gred 54 dalam tempoh yang lebih wajar.

Berdasarkan pelan laluan kerjaya itu, pegawai perubatan dan pegawai pergigian pakar berpeluang dinaikkan ke Gred 54 dalam tempoh sembilan tahun daripada tarikh mula berkhidmat; pegawai perubatan (klinikal/pentadbiran) dan pegawai pergigian (klinikal/pentadbiran) pula 12 tahun dan 14 tahun bagi pegawai farmasi.

Najib berkata, penambahbaikan pelan kerjaya itu adalah lebih baik berbanding tempoh purata sekarang, iaitu antara 11 tahun hingga 17 tahun bagi pegawai terbabit untuk dinaikkan ke Gred 54.

Perdana Menteri berkata, melalui penambahbaikan laluan kerjaya itu, kerajaan berharap pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan akan terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

"Kerajaan melaksanakan penambahbaikan laluan kerjaya ini sebagai mengiktiraf sumbangan dan peranan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

"Kerajaan yakin usaha penambahbaikan ini akan dapat meningkatkan komitmen dan azam mereka untuk menjayakan hasrat meningkatkan tahap perkhidmatan hospital kerajaan," katanya.Tahun lalu, 9,871 pegawai perubatan dinaikkan pangkat ke Gred UD44 apabila kerajaan bersetuju melaksanakan kenaikan pangkat secara terus ke gred berkenaan kepada semua pegawai perubatan yang dilantik mulai 1 Januari 2008, iaitu sebaik menamatkan 'housemanship' selama dua tahun dan berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Kini, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan urusan kenaikan pangkat ke UD48 apabila ada di kalangan 9,871 pegawai perubatan terbabit telah mempunyai ijazah Sarjana mengikut bidang kepakaran masing-masing serta tempoh perkhidmatan dan pengalaman yang lama.

Perdana Menteri berkata, urusan kenaikan pangkat itu dijangka dapat dilaksanakan sebelum 31 Mac ini.

Terdahulu, pada majlis Mappa XI, Najib berkata, kajian terhadap skim perkhidmatan pensyarah IPTA dan perguruan membabitkan peluang kenaikan pangkat seseorang profesor hingga ke tahap Turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran, berbanding Gred Khas A pada masa ini.

Beliau berkata, jawatan profesor tidak semestinya dibendung oleh jawatan yang dipegang Naib Canselor sesebuah universiti, sebaliknya profesor yang berwibawa dan tersohor boleh menerima gred yang lebih tinggi daripada Naib Canselor.

"Ini satu perubahan yang meletakkan kepada penilaian seorang itu dari segi tahap keilmuan yang ada pada dirinya, bererti bahawa tidak semestinya seorang itu nak naik pangkat mesti berebut jawatan untuk jadi Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor."

Apa yang saya lihat sekarang ini, oleh kerana tak ada peluang untuk meningkat lebih tinggi lagi melalui jawatan profesor, menjadikan jawatan Naib Canselor satu rebutan di kalangan ahli akademik," katanya pada majlis yang turut dihadiri Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, kenaikan pangkat itu perlu berdasarkan meritokrasi kerana negara memerlukan yang terbaik dan tidak boleh bertolak ansur terhadap mediokriti atau budaya 'kecincaian' dalam usaha menjadikan IPTA di negara ini sebagai model kecemerlangan.

"Jadi apabila buka peluang untuk kenaikan pangkat berdasarkan kepada keilmuan mereka, maka tidak semestinya orang itu dapat jawatan lebih tinggi dengan memburu jawatan Naib Canselor."Ini akan meletakkan nilai penguasaan ilmu itu dan kemahiran yang ada pada seorang ahli akademik yang menjadi tonggak utama penentuan jawatan lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, satu sistem 'peer review' perlu diwujudkan di kalangan mereka yang layak untuk membuat penilaian terhadap seorang bertaraf profesor supaya proses kenaikan tidak tertakluk kepada penilaian seorang individu saja.

Mengenai sistem pool, Najib berkata, beliau sudah mengarahkan satu kajian komprehensif dilakukan supaya elemen keadilan asasi, iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada prosedur.

"Saya mendengar bisikan dan suara hati penjawat awam. Saya tahu dan saya peduli.

Berita Harian Online

No comments: