PENJAWAT awam yang kini berjumlah kira-kira 1.2 juta orang merupakan agen penggerak untuk merealisasikan dan menterjemahkan segala dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
Peranan sektor awam amat penting untuk memastikan setiap dasar itu mampu dilaksanakan dengan berkesan, efisien, berintegriti dan berjaya mencapai matlamat yang diharapkan oleh kerajaan.
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam amanatnya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) telah menyentuh pelbagai aspek dan jalur laluan kerjaya yang ditujukan khas kepada penjawat awam.
Antaranya, Najib menyatakan kerajaan akan mengkaji konsep Perkhidmatan Bukan Guna Sama (closed service) bertujuan mengelakkan penjawat awam menjadi 'jumudi' kerana penjawat awam yang terbabit mungkin sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing. Ini akan memberi kesan dan mengakibatkan kepada tidak ada peningkatan di dalam kerjaya masing-masing.
Beliau juga menyarankan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi lebih perhatian kepada hal ehwal pembelajaran berterusan, peningkatan kemahiran, perancangan kejayaan dan peluang meningkatkan kerjaya.
Selanjutnya, beliau mengarahkan satu kajian komprehensif dibuat terhadap sistem 'pool' yang wujud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum, sebaliknya elemen keadilan semula jadi akan menjadi sebahagian daripada prosedur iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali.
Kenyataan PM berkaitan kajian dan pelan penambahbaikan laluan kerjaya kepada Kementerian Kesihatan, yang melibatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institut perguruan berkaitan peluang kenaikan pangkat pastinya menggembirakan kumpulan tersebut.
Tindakan itu jelas memperlihatkan hasrat murni PM terhadap penjawat awam bagi menjadikan mereka lebih berwibawa, berdedikasi dan berdaya saing dalam laluan kerjaya masing-masing.
Jika dilihat pada aspek yang lain pula, pengumuman Najib itu menggambarkan kerjaya di dalam sektor awam mempunyai masa depan yang cerah termasuk dari segi peningkatan kerjaya dan peluang kenaikan pangkat.
Di dalam konteks aspirasi nasional kerajaan untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi, penjawat awam berperanan untuk menjadi pemangkin kepada hasrat murni kerajaan.
Ini telah dinyatakan oleh Najib di dalam Tiang Utama Kedua iaitu memastikan apa yang diaspirasikan akan menjelma dan menjadi realiti sekiranya ada pelaksanaan yang pantas, tepat dan berkesan.
Di sinilah, letaknya tugas sebenar penjawat awam di dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Program Transformasi Kerajaan hanya akan berjaya sekiranya penjawat awam bersama-sama mendokong dan sanggup melakukan perubahan daripada yang sedia ada ke arah yang lebih dinamik dan berdaya maju. Secara tak langsung, persepsi negatif di dalam sektor awam seperti antara lainnya penuh birokrasi, tidak mencabar, kroni dan siapa pandai 'bodek' cepat naik pangkat akan terhakis dengan sendirinya.
Selanjutnya, Najib menyeru penjawat awam mengikis mentaliti silo iaitu melihat kepentingan terhad kepada jabatan, agensi dan kementerian sahaja. Beliau juga menyeru penjawat awam supaya menekankan budaya kerja berpasukan dan saf yang kukuh merentasi silo atau kokun masing-masing demi kepentingan rakyat.
Budaya yang menganggap rakyat sebagai pelanggan haruslah dikikis segera. Laksanakan tugas dengan menganggap memberi khidmat seolah-olah kepada satu keluarga yang besar. Justeru, perkhidmatan akan diberikan dengan secara bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa. Ia sekali gus menghapuskan apa yang sinonim dipanggil 'budaya cincai' yang mengambil sikap endah tak endah dengan tugas yang dilaksanakan.
Sekiranya budaya dan mentaliti baru penjawat awam mampu diterjemahkan, maka Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan akan menjadi kenyataan.
Penjawat awam juga harus meminggirkan kepentingan diri di dalam melaksanakan amanah yang ditugaskan dan beranggapan bahawa tugas atau kerja yang dilaksanakan dengan jujur merupakan satu ibadat sekiranya kena dengan niat.
Sebagai seorang penjawat awam, mereka mestilah sentiasa bertindak tertakluk kepada Peraturan Perintah Am dan Pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa serta akujanji yang telah dipersetujui dan harus akur kepada dasar yang telah digubal oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat.
Penjawat awam yang profesional, dinamik, progresif, berinovatif, berdaya saing dan berpegang erat dengan menjadikan lapan tonggak perdana yang merangkumi empat tiang utama dan empat nilai asas seperti mana di dalam amanat Perdana Menteri semasa MAPPA XI akan menjurus rakyat dan negara ke arah masa depan yang dicitakan bersama dengan lebih gemilang.
Secara umumnya, penjawat awam perlu menjadikan lapan tonggak yang diilhamkan oleh Perdana Menteri iaitu empat tiang utama merangkumi Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) serta empat nilai asas pelengkap iaitu Membudayakan Kreativiti dan Inovasi; Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan; Nilai Untuk Wang dan Nilai Integriti sebagai panduan dalam menggalas amanah dan tanggungjawab pelaksana tugas agar hasrat PM dan kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan berjaya direalisasikan.
Nadzir Awang Ahmad @ Said
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Perlis
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment