Monday, March 8, 2010

72 Pegawai Awam & 23 Syarikat Langgar Pengurusan Wang Awam Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Seramai 72 pegawai awam termasuk yang sudah bersara dan 23 syarikat kerajaan dan swasta yang didapati cuai atau sengaja melanggar peraturan dan prosedur dalam pengurusan wang awam seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, telah dan akan diambil tindakan.

Kes itu adalah sebahagian daripada 374 kes yang ditentukan tindakannya oleh Pasukan Petugas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Ismail Adam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Mohd Sidek berkata pegawai awam itu akan dikenakan tindakan tamat perkhidmatan, denda bersamaan dengan dua atau tiga hari emolumen, surcaj serta tindakan sivil dan amaran.

"Bagi syarikat pula, tindakan yang akan dan telah diambil ialah menyenaraihitamkan atau mengambil tindakan sivil terhadap syarikat-syarikat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri di sini, Isnin.

Beliau berkata Pasukan Petugas itu, yang penubuhannya diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Okt lepas dan sudah lima kali bermesyuarat, juga memutuskan tidak mengenakan tindakan terhadap 82 kes melibatkan pegawai awam setelah siasatan mendapati kesalahan tidak disengajakan atau berpunca daripada faktor di luar kawalan mereka.

Mohd Sidek berkata di peringkat negeri, sebanyak sembilan kes yang melibatkan 30 pegawai awam telah dan akan diberi amaran manakala satu syarikat kontraktor akan disenaraihitamkan.

Ini adalah antara 55 kes yang sudah disiasat dan diputuskan untuk tindakan, katanya.

Menurutnya sebanyak 91 kes lain di peringkat Kerajaan Persekutuan dan 36 kes peringkat kerajaan negeri masih disiasat SPRM, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman JPA.

Beliau berkata Jawatankuasa Siasatan peringkat kementerian dan jabatan persekutuan serta kerajaan negeri telah diminta menyiasat kes-kes berkenaan dengan terperinci yang menjurus kepada pihak yang benar-benar bertanggungjawab terhadap kes berkenaan walaupun ia melibatkan peringkat atasan.

Selain itu, katanya Pasukan Petugas itu juga meminta kementerian, jabatan dan kerajaan negeri supaya menyegerakan siasatan bagi kes-kes yang belum selesai selain menyemak semula keputusan hasil siasatan yang didapati tidak perlu dikenakan tindakan.

Mohd Sidek berkata Pasukan Petugas itu juga sedang mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan kementerian, jabatan dan kerajaan negeri bagi memastikan isu-isu yang dibangkitkan tidak berulang.

"Bagi mengatasi kelemahan dalam pengurusan syarikat-syarikat kerajaan yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus, Pasukan Petugas memutuskan supaya 'Kod Etika Tadbir Urus Korporat Malaysia' diterima pakai oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata Pasukan Petugas itu akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi menentukan semua perkara yang berbangkit dalam laporan itu dapat diselesaikan sebelum 30 April ini.

Bernama Online

No comments: