Thursday, April 28, 2011

Amaran pentadbiran, hukuman ringan paling kerap ke atas penjawat awam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa hukuman amaran pentadbiran dan amaran merupakan kategori hukuman ringan paling kerap dikenakan terhadap penjawat awam berikutan kesalahan tatatertib.

"Hukuman ringan sedemikian dilihat tidak mencerminkan hasrat sebenar kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam benar-benar bersih dan bebas daripada segala amalan negatif," menurut Laporan Tahunan SPRM 2010. Menurut laporan itu, 260 keputusan tindakan tatatertib daripada Ketua Jabatan atau agensi diterima berbanding 182 keputusan diterima pada 2009.

Daripada jumlah itu, 135 dikenakan hukuman amaran pentadbiran dan amaran pada 2010, berbanding 90 pada tahun sebelumnya.

Sejumlah 27 kes diputuskan bebas tahun lalu walaupun Timbalan Pendakwa Raya SPRM memperakukan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terlibat.

Mengenai hukuman berat, 12 kes dikenakan dikenakan tindakan buang kerja dan tiga kes diturunkan pangkat.

"Namun, jumlah tersebut mewakili hanya 5.8 peratus daripada jumlah keseluruhan hukuman dijatuhkan Pihak Berkuasa Tatatertib ke atas kesalahan tatatertib yang dilakukan," menurut laporan itu.
Pihak Berkuasa Tatatertib turut mengenakan hukuman selain daripada yang disenaraikan di bawah peraturan 38 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1993.

Antaranya ialah penahanan kerja, penggantungan kerja, tindakan surcaj dan sebagainya di mana masing-masing melibatkan 27 hukuman pada tahun lepas dan 24 pada 2009.

Sementara itu, Laporan SPRM juga mendedahkan kesalahan perlanggaran tatakelakuan dan tatatertib yang sering dilakukan penjawat awam adalah tidak melaksanakan tugas dan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk kepentingan diri iaitu sebanyak 204 laporan.

Selain itu, 72 laporan SPRM dikemukakan kepada Ketua Jabatan kerana mengemukakan tuntutan palsu atau pengesahan yang mengandungi butiran palsu berbanding 64 pada 2009.

Sebanyak 51 laporan kerana tidak bersikap tidak jujur, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, cuai, melakukan penyelewengan dan kurang cekap melaksanakan tugas-tugas melibatkan urusan pentadbiran dan kewangan jabatan berbanding 28 laporan pada tahun sebelumnya.



BERNAMA

No comments: