KEMAJUAN pesat negara dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini membolehkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan perkhidmatan kaunter lebih sistematik, cepat dan mudah kepada pelanggan. Ia juga menepati hasrat kerajaan memodenkan lagi pentadbiran awam menerusi pengenalan cara inovatif dan kreatif bertujuan memberi keselesaan kepada pelanggan, di samping memendekkan tempoh urusan yang sebelum ini mungkin mengambil masa yang lebih lama.
Pembaharuan kerajaan ini dimulakan sejak 1980-an lagi apabila pentadbiran negara ketika itu memperkenalkan Pusat Pembayaran Setempat bagi memudahkan orang ramai membuat bayaran bil utiliti dan cukai pintu, yang masih wujud sehingga sekarang. Kelmarin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelaksanaan cara mudah bagi mereka yang mencapai usia 50 dan 55 tahun serta yang mempunyai simpanan melebihi RM1 juta untuk mengeluarkan simpanan tanpa perlu melalui proses lama yang rumit. Cara baru ini hanya memerlukan mereka membawa MyKad dan buku bank ke agensi berkenaan. Tiada borang perlu diisi dan tiada salinan dokumen perlu dihantar bersama.
Pencarum juga boleh membuat pengeluaran di mana-mana kaunter KWSP dan kelulusan diberikan serta-merta selepas kelayakan pengeluarannya disahkan. Tujuannya, seperti kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, adalah untuk mempertingkatkan tahap penyampaian perkhidmatan untuk manfaat ahli. Bagaimanapun, pemegang kad pengenalan polis dan tentera atau mereka yang masih memegang kad pengenalan lama perlu melalui proses lama dengan mengisi Borang KWSP9 dan mengemukakan salinan kad pengenalan dan salinan buku bank. Sebelum ini beberapa jabatan, termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah melakukan perubahan bagi mempercepatkan urusan mereka dengan orang ramai. Pelbagai usaha dilakukan bagi memperkenalkan cara inovatif untuk memudahkan lagi urusan yang sebelum ini rumit dan mengambil masa lama untuk diproses.
Cara baru ini membuktikan urusan pentadbiran awam sebenarnya boleh dilakukan dengan cepat sekiranya ada usaha jabatan atau agensi terbabit melakukan perubahan dan pembaharuan. Penggunaan komputer dalam urusan kaunter sudah tentu dapat menjimatkan masa kerana maklumat diperoleh di hujung jari. Urusan memohon atau memperbaharui pasport yang sebelum ini mengambil masa sebulan atau lebih, kemudian dipendekkan kepada tiga hari dan kini boleh disiapkan dalam tempoh sejam selepas pembayaran dijelaskan. Selain itu, KWSP, imigresen dan JPN juga mempunyai banyak cawangan di bandar besar bagi mengurangkan kesesakan orang ramai bertujuan mengurangkan tempoh menunggu. Kita berharap sistem pengeluaran cara mudah diumumkan KWSP itu mampu dilakukan dengan berkesan tanpa masalah atau kelewatan.
Sebagai langkah memastikan kelancarannya, agensi simpanan wang pekerja itu hendaklah menentukan bahawa perkhidmatan terbarunya itu juga boleh dinikmati di semua cawangannya di seluruh negara. Adalah diharapkan pengeluaran cara mudah dan cepat itu tidak menyebabkan kesilapan yang mengakibatkan kerugian kepada pencarum. Seiring arus pemodenan negara dan pentadbiran awam, sistem baru yang diperkenalkan jabatan tertentu, termasuk KWSP wajar jadi contoh serta ikutan agensi lain, terutama yang berurusan dengan orang ramai.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment