Thursday, April 7, 2011

Minda Pengarang: Langkah kejapkan khidmat awam wajar diperluas ke semua agensi kerajaan

LANGKAH untuk merasionalisasikan jawatan di bawah Kementerian Pelajaran bukan saja dapat mengatasi masalah pertindihan tugas, malah mampu memanfaatkan sepenuhnya kepakaran kakitangan sedia ada. Langkah itu sememangnya wajar kerana kini memang ada beberapa sektor memerlukan tambahan tenaga kerja, sedangkan ada sektor lain di kementerian itu mempunyai tenaga kerja pegawai yang tidak digunakan secara maksimum.

Justeru, perlu ada kajian terperinci atau melakukan audit terhadap semua tenaga kerja pegawai dengan bidang tugas jabatan atau agensi di bawah kementerian berkenaan bagi memastikan wujud keberkesanan dari segi prestasi. Ini selaras hasrat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu jumlah pegawai digunakan dengan optimum. Kita harap semua pihak di Kementerian Pelajaran akan menyahut saranan beliau dengan positif dan menyegerakan kajian bagi membolehkan perancangan lebih teliti dibuat dalam penyediaan tenaga sumber manusia. Muhyiddin kelmarin menegaskan jawatan di Kementerian Pelajaran akan dirasionalisasikan bagi menghasilkan perkhidmatan awam yang kejap dan memastikan tiada tenaga kerja yang tidak digunakan sepenuhnya. Ini boleh dilakukan melalui penjajaran fungsi bahagian yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong, pemansuhan jawatan serta pengagihan semula jawatan ke agensi lebih kritikal.

Perancangan tidak teliti atau tersalah sasar boleh menyebabkan berlaku lebihan kakitangan atau pegawai di kementerian berkenaan, selain kakitangan tidak efisien dan hanya sekadar menjadi ‘penumpang’. Kita percaya usaha rasionalisasi ini akan membantu menyelesaikan kedudukan 26,000 guru opsyen Sains dan Matematik yang ketika ini masih menunggu penempatan di sekolah, berikutan lebihan penawaran guru di seluruh negara. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan unjuran yang diputuskan oleh Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung pengambilan guru sehingga berlaku lebihan. Akibatnya, kira-kira 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik terpaksa mengajar subjek lain termasuk Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Islam, sekali gus menyebabkan mereka gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

Kita menyokong pandangan Muhyiddin bahawa perkhidmatan awam yang kejap perlu dibentuk di Kementerian Pelajaran bagi mewujudkan jentera pentadbiran yang cekap, produktif, kreatif dan inovatif, selain mementingkan hasil pencapaian. Sudah sampai masa Kementerian Pelajaran melakukan anjakan paradigma dari segi strategi, struktur pengurusan dan pewujudan kakitangan berkualiti yang berfikiran terbuka serta sanggup menerima pandangan dan cadangan. Selaras dengan strategi Lautan Biru yang diperkenalkan Perdana Menteri dalam pasukan keselamatan negara baru-baru ini, adalah diharapkan idea berkenaan boleh direalisasikan juga di beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang mana peranan dan fungsi jabatan dan pegawai tertentu boleh diselaraskan bagi mengatasi masalah pertindihan tugas, mengisi jawatan kosong, memansuhkan jawatan tertentu ataupun menukar pegawai tertentu ke agensi lebih kritikal.

Sebelum ini hanya ada sebuah kementerian bagi mengawasi hal ehwal pendidikan sehingga ke peringkat universiti. Perbincangan boleh diadakan kedua-dua kementerian berkenaan bagi menyelaraskan semula peranan mereka, bukan saja pada peringkat Persekutuan tetapi juga di negeri dan daerah. Menerusi konsep perkongsian ini, kedua-dua kementerian mampu mengurangkan kerenah birokrasi dan menangani masalah ketidakseimbangan tugas di kalangan kakitangan dan pegawai tertentu.



Berita Harian Online

No comments: