Wednesday, April 20, 2011

Konsep 4P patut jadi budaya kerja warga PDRM

SAYA berpendapat konsep 4P (Pelindung, Proaktif, Prestasi dan Berorientasikan Masyarakat) yang diuar-uarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sempena Hari Polis ke-204 baru-baru ini bukan saja harus difahami sepenuhnya di semua peringkat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi perlu juga diserapkan sebagai budaya kerja setiap anggotanya.

Di sebalik kejayaan mengurangkan indeks jenayah jalanan 35 peratus dan indeks jenayah lain 15 peratus yang melebihi sasaran Bidang Keberhasilan Negara (NKRA), pihak polis sebenarnya tidak harus puas hati tetapi hendaklah terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memerangi jenayah. Pihak polis harus berterusan meningkatkan usaha menambahbaik persepsi awam dan memenangi hati rakyat, terutama mereka yang sinis dan curiga terhadap prestasi pasukan keselamatan itu. Wajarlah pihak polis menjadikan institusi berkenaan lebih mesra rakyat berorientasikan perkhidmatan dan sentiasa peka soal integriti.

Sebagai badan bukan kerajaan terbesar di Malaysia yang bertanggungjawab mencegah jenayah melalui kesedaran dan pendidikan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) terus bekerjasama dengan pihak polis untuk mengurangkan jenayah di negara ini.

Di samping mengharapkan prestasi polis dipertingkat, keperluan meningkatkan skim gaji, faedah dan insentif lain perlu diambil kira agar kebajikan mereka sepadan pengorbanan diberikan.

TAN SRI LEE LAM THYE, Naib Pengerusi Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia.


Berita Harian Online

No comments: