Saturday, April 30, 2011

Menghargai pekerja

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

SEPERTI kebiasaan maka sambutan Hari Pekerja 2011 akan diraikan pada Ahad ini. Hari Pekerja mula diiktiraf kerajaan pada 1973 apabila ia mengisytiharkan 1 Mei setiap tahun sebagai cuti umum.

Mulai 1991, kerajaan turut menganjurkan Perhimpunan Hari Pekerja secara tetap setiap tahun sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan golongan pekerja kepada pembangunan negara.

Perhimpunan yang disertai pekerja sektor awam dan swasta juga bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak kerajaan, majikan dan pekerja.

Pada tahun ini, perhimpunan yang bertemakan 'Pekerja Merealisasi Transformasi Negara' akan diadakan pada 7 Mei di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sebagai penghormatan kepada golongan pekerja, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk menyampaikan amanat khas pada perhimpunan berkenaan.
Sebenarnya, keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap nasib golongan pekerja tidak boleh disangkal. Ini terbukti apabila kerajaan telah bersetuju menetapkan gaji minimum seperti yang dituntut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak lebih 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, golongan pekerja sudah tentu menantikan respons kerajaan terhadap beberapa tuntutan lain yang telah dibuat termasuk cadangan pekerja sektor swasta diberikan elaun sara hidup (COLA) RM300 sebulan berikutan kenaikan harga barangan.
Dalam pada itu, sambutan Hari Pekerja 2011 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan diadakan di Ipoh pada Ahad ini.

Satu lagi sambutan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan CUEPACS akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Mei.Bagi penjawat awam mereka sudah pasti ternanti-nantikan apakah lagi berita baik yang akan diumumkan Najib sebagai respons terhadap permohonan CUEPACS sebelum ini.
Antaranya cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan daripada RM180 kepada RM300, jawatan Gred 1 hingga 16 dimansuhkan dan pekerjanya dinaik taraf ke Gred 17 dan diselaraskan kadar COLA kakitangan awam.

Walaupun bukan semua tuntutan berkenaan dapat dipenuhi berikutan kekangan kewangan kerajaan, ia tidak harus dijadikan alasan oleh pekerja untuk tidak bekerja kuat.
Pekerja sektor swasta dan awam sepatutnya terus meningkatkan lagi produktiviti masing-masing supaya matlamat untuk menjadikan Malaysia negara maju pada 2020 tercapai.

Utusan Online

No comments: