Monday, April 11, 2011

Najib saran SPRM cari alternatif

Oleh Norfatimah Ahmad

Konsep penugasan semula mampu tangani masalah kekurangan kakitangan

SUNGAI BULOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran mencari alternatif dan lebih kreatif dalam menangani masalah kekurangan anggota berkaitan keselamatan di agensi itu, termasuk melaksanakan konsep penugasan semula tanpa perlu menambah kakitangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata langkah lebih berkesan perlu dilaksanakan bagi mengelak birokrasi serta penjimatan wang rakyat perlu diambil kira dalam membuat keputusan berhubung perkara ini. Beliau berkata, tahun lalu, konsep penugasan semula dilaksanakan dalam pasukan polis apabila pegawai dan anggotanya yang sebelum itu bertugas di bahagian pentadbiran di pejabat, ditugaskan membuat rondaan bagi menambah anggota secara segera berbanding pengambilan baru. “Ada juga yang boleh dilakukan tanpa menambah jawatan. Ia sama seperti polis yang kini ada tambahan lebih 30,000 anggota untuk lakukan rondaan kerana ambil langkah berfikir secara kreatif dan ia menjimatkan wang negara.

“Pengambilan anggota baru adalah langkah terakhir yang sepatutnya dilaksanakan jika suruhanjaya berkenaan tidak mempunyai sebarang pilihan lain,” katanya selepas melancarkan 1Malaysia Cardiff City Junior Football League (1MCC-JFL), di Pusat Penyelidikan Getah Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaafar memaklumkan pihaknya memerlukan kira-kira 800 anggota lagi bagi memantapkan aspek keselamatan bangunan dan individu yang berurusan di pejabat suruhanjaya itu di seluruh negara.

Sehubungan itu, pihaknya mengemukakan permohonan fasa pertama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengisi 134 jawatan berkenaan. Ketika ini, hanya 31 pegawai SPRM dan 90 pengawal keselamatan menjalankan tugas berkaitan keselamatan di seluruh negara membabitkan ibu pejabat SPRM, 15 ibu pejabat negeri dan 19 cawangan negeri di beberapa daerah.
Isu berkaitan keselamatan timbul berikutan kes Penolong Pengarah kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu, selepas datang ke pejabat SPRM pada kira-kira jam 8.30 pagi kerana hendak berjumpa pegawai penyiasat.

Perdana Menteri juga berkata, SPRM seharusnya membuat keputusan terbaik selepas terlebih dulu berfikir secara kreatif kerana matlamat kerajaan adalah untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang efisien dan produktif.

“Kita tidak boleh terus tambah perjawatan begitu saja kerana ini memerlukan perbelanjaan wang rakyat yang besar hingga menyebabkan kita tidak boleh gunakan wang itu bagi program lain untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Berkaitan inkues kematian Ahmad Sarbani, Najib berkata, ia akan dilaksanakan jika hasil siasatan menemui wujud keraguan atas kematian pegawai kastam terbabit.



Berita Harian Online

No comments: