KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat 944 tangkapan berhubung kesalahan rasuah sepanjang tahun lalu, tangkapan tertinggi dalam sejarah sejak agensi pencegahan rasuah diwujudkan pada 1967.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 414 atau 43.8 peratus tangkapan adalah di kalangan pemberi rasuah, peningkatan ketara berbanding tangkapan terhadap penerima rasuah seperti mana yang dicatatkan tahun-tahun sebelumnya. "SPRM memaklumkan bahawa buat pertama kali juga jumlah orang yang ditangkap kerana memberi rasuah dengan orang yang ditangkap kerana menerima rasuah sudah bersilang.
"Ini adalah peningkatan yang besar hasil daripada usaha kerajaan meningkatkan kesedaran di kalangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam untuk mengambil tindakan atas mereka yang memberi rasuah," katanya pada sidang media selepas menyerahkan buku laporan tahunan SPRM kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Beliau berkata, jumlah tangkapan yang berbeza terhadap mereka yang memberi berbading yang menerima rasuah juga adalah satu indikator mengenai peningkatan integriti di kalangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam bertambah baik sejak kempen "Hindar Menerima: Perangi Pemberi Rasuah" dilancarkan pada 26 April tahun lalu.
Abu Kassim berkata, jumlah 944 tangkapan keseluruhan itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 88 peratus berbanding 500 tangkapan yang dibuat tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 293 tangkapan adalah melibatkan penjawat awam, 102 kakitangan sektor swasta, 545 orang awam dan empat tangkapan membabitkan ahli parti politik.
Beliau berkata, seramai 381 orang dituduh di mahkamah tahun lalu, peningkatan 207 orang atau 119 peratus berbading tahun sebelumnya.
"Kadar sabitan kes di peringkat perbicaraan awal juga berjaya ditingkatkan dari 64 peratus pada 2009 kepada 71 peratus tahun lepas," katanya.
Sementara itu, Mohd Radzi berkata, jawatankuasa berkenaan akan bermesyuarat selama lima hari antara 9 hingga 18 Mei depan bagi membuat analisa dan laporan sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selewat-lewatnya Jun ini bagi membolehkan ia dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sidang yang akan datang.
Ditanya mengenai status cadangan jawatankuasa itu kepada Perdana Menteri tahun lalu, supaya kuasa pendakwaan kes rasuah diletakkan bawah SPRM dan bukan bawah Jabatan Peguam Negara Mohd Radzi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima jawapan khusus mengenai perkara itu.
"Setakat ini tiada maklum balas khusus berkaitan cadangan itu, mungkin kerajaan melihat bahawa SPRM berkembang. Jawapan itu mungkin lebih pada indirect respon atau dalam kata lain memperluaskan skop SPRM dengan membekalkan lebih banyak pegawai pendakwaan yang senior bagi menjalankan kes-kes pendakwaan," katanya.
Jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Akta SPRM 2008 itu bertujuan menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selain menerima laporan tahunan SPRM dan menerima ulasan daripada Lembaga Penasihat SPRM.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment