Wednesday, April 27, 2011

LDM naik jawatan secara fleksibel

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my

LUMUT 27 April – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melaksanakan proses naik taraf jawatan secara fleksibel bagi menjadikan kerjaya bersama pasukan itu lebih menarik dan diminati masyarakat.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, langkah itu juga perlu bagi memastikan TLDM mampu mengekalkan anggota yang berkemahiran tinggi menerusi penawaran gaji yang setimpal tanpa menukar jawatan.“Kalau perjawatan itu kekal pada satu-satu pangkat tetapi gaji sahaja naik, kita akan kerugian kerana kepakaran yang ada pada mereka tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Istiadat Perbarisan sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-77 di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut kepada tiga penerima iaitu Komander Nazri Sharif, Leftenan Komander Mohd. Maznan Mohd. Said dan Leftenan Komander Jason Salomon John.Ketiga-tiga pegawai tersebut menerima anugerah tersebut atas sumbangan dalam menjayakan Operasi Fajar di Teluk Aden, Somalia termasuk dalam peristiwa pembebasan kapal MT Bunga Laurel pada 21 Januari lalu.

Anugerah Bintara Terbaik disandang Pegawai Waran 1, Nik Ezanee Nek Anom manakala Anugerah Laskar Terbaik menjadi milik Laskar Kanan, Luye Aru.
Abdul Aziz berkata, TLDM telah mengemukakan cadangan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan lanjut.“Pada dasarnya JPA bersetuju dengan cadangan tersebut dan ia patut diguna pakai dalam perkhidmatan lain dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” tegasnya.

Beliau menambah, antara perjawatan yang perlu diberi perhatian ialah anggota yang berkhidmat di kapal selam, juruteknik dan cawangan udara.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz memberitahu seramai 183 anggota TLDM telah diberhentikan kerja sepanjang tahun lalu kerana melanggar disiplin dan peraturan profesion.Katanya, tindakan tersebut diharap menjadi pengajaran kepada anggota lain supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej TLDM.

Utusan Online

No comments: