Friday, April 29, 2011

Kecemerlangan SPRM letak pemberi rasuah dalam bahaya

SEKALUNG tahniah patut diberikan kepada pegawai dan penjawat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang sepanjang 2010.

Ini terbukti apabila buat pertama kalinya SPRM berjaya melakukan tangkapan tertinggi dalam sejarah sejak agensi pencegahan rasuah ditubuhkan pada 1967 di negara ini. Anggota SPRM telah berjaya membuat 944 tangkapan atas kesalahan rasuah pada tahun lepas.

Transformasi dalam SPRM ini dilihat cukup berkesan apabila buat pertama kali juga jumlah pemberi rasuah yang ditangkap melebihi bilangan penerima rasuah.Sebelum ini laporan yang selalu kita baca di surat khabar ialah penerima yang paling ramai ditangkap kerana rasuah. Tetapi tahun lalu menunjukkan perubahan apabila 414 atau 43.8 peratus tangkapan melibatkan pemberi rasuah.

Sepanjang tahun lalu, SPRM berjaya menumpaskan kes-kes rasuah bersindiket seperti perlombongan haram dan penyeludupan pasir, pembalakan haram, pendatang asing tanpa izin dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi. Jika trend semakin ramai bakal penerima suapan menolak rasuah, kita percaya pemberi-pemberi rasuah akan berada dalam kedudukan bahaya. Mereka boleh terdedah untuk ditangkap dan didakwa di bawah undang-undang yang semakin berat.

Semua ini adalah hasil penerapan kesedaran menolak rasuah yang dijalankan di jabatan-jabatan kerajaan. Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, peningkatan yang besar itu kesan daripada langkah-langkah kerajaan meningkatkan kesedaran di kalangan pegawai dan penjawat perkhidmatan awam untuk mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah.

Ada baiknya jika buku laporan tahunan SPRM yang diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah itu diterbitkan untuk bacaan semua penjawat awam dan orang ramai. Dengan cara ini, mereka akan lebih memahami bentuk rasuah dan balasan hukuman jika melakukannya.Jelas sekarang, penjenamaan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM bukanlah retorik. Anggota SPRM menunjukkan penguatkuasaan tanpa pilih bulu, telus dan menjalankan siasatan secara profesional.

SPRM telah bangkit memulihkan kewibawaan dan imej SPRM yang terjejas sepanjang tahun 2009 berikutan kes kematian Teoh Beng Hock. Sementara kes kematian pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed baru-baru ini diharap tidak mematahkan semangat warga SPRM meneruskan amanah. Hakikatnya, segala langkah dan perancangan strategik untuk meningkatkan pencegahan rasuah kurang berkesan jika tidak disertai kerjasama menyeluruh daripada masyarakat negara ini.

Hindarkan persepsi dan sikap prejudis yang ditiupkan oleh pihak yang tidak mahu SPRM melaksanakan tanggungjawabnya. Jika masalah sikap ini terus membelenggu masyarakat kita dan terus mempersoalkan kerja-kerja SPRM, maka usaha memerangi rasuah akan terjejas.Sebab itu SPRM perlu diberi ruang dan keyakinan untuk melaksanakan amanah merawat penyakit rasuah negara ini.
Jasa dan bakti warga SPRM menjalankan tugas dengan penuh disiplin dan dedikasi sepanjang tahun 2010 wajar diberi pujian. Tabik hormat kepada SPRM.


Utusan Online

No comments: