CADANGAN Kementerian Pertahanan memperkenalkan skim gaji baru anggota tentera selepas kali terakhir disemak pada 2004 adalah wajar dan kena pada masanya. Sebagai pasukan keselamatan yang berada di barisan hadapan negara, adalah wajar kebajikan anggota tentera diberi perhatian serius oleh kerajaan. Semakan gaji anggota tentera yang dibuat pada Oktober 2004 membabitkan kenaikan antara satu hingga 42.85 peratus atau antara RM44.66 hingga RM719.01, bergantung kepada pangkat dan kelayakan.
Kita percaya anggota tentera mengharapkan skim gaji baru yang dicadangkan itu, jika tidak berlaku kenaikan tinggi sekalipun, setidak-tidaknya menyamai skim gaji penjawat awam lain. Dengan menyediakan skim gaji yang setimpal dengan bidang tugas, sudah pasti ia akan turut menaikkan moral setiap anggota tentera terbabit. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mengumumkan cadangan itu kelmarin, menjelaskan jika skim itu diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan, ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 115,000 anggota tentera. Skim baru itu dibuat bagi mengiktiraf sumbangan anggota tentera, terutama dengan kewujudan lebih ramai pegawai bertaraf profesional seperti juruterbang, jurutera, pegawai perubatan dan pelbagai bidang lain.
Kita yakin skim gaji baru yang dicadangkan itu bakal menguntungkan anggota tentera dari segi jangka panjang termasuk soal gaji pokok minimum, gaji maksimum, kenaikan gaji tahunan, penambahan tangga gaji dan kenaikan imbuhan tetap khidmat tentera bagi setiap peringkat, termasuk prebet hingga koperal. Ketika ini, gaji minimum yang diterima prebet hingga Pegawai Waran I (PWI) antara RM880 hingga RM2,303 sebulan masih rendah berbanding penjawat awam lain, termasuk yang diterima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Justeru, dengan kenaikan kos sara hidup semasa adalah perlu skim gaji baru itu diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan. Ini berdasarkan perbelanjaan isi rumah yang perlu ditanggung anggota tentera terbabit. Kita percaya anggota tentera dan keluarga masing-masing juga mahu hidup selesa, apatah lagi yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, yang mana kos sara hidupnya begitu tinggi.
Setiap anggota tentera perlu sentiasa siap siaga bagi memastikan negara dapat menangkis sebarang ancaman musuh secara tiba-tiba, sama ada dari luar mahu pun dalam negara. Khidmat mereka juga boleh dimanfaatkan pada bila-bila masa sekiranya negara dilanda bencana.
Melalui skim gaji yang lebih baik, ia akan turut meningkatkan lagi tahap profesionalisme angkatan tentera kita. Ini secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai belia, terutama berpendidikan tinggi menyertai bidang ketenteraan. Kita tentunya tidak mahu melihat ada anggota tentera beralih ke sektor lain, termasuk swasta disebabkan skim gaji ditawarkan lebih menarik. Jika keadaan itu berlaku, ia sudah tentu merugikan negara kerana kehilangan anggota yang cekap dan berpengalaman.
Kita yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Pertahanan dan bertanggungjawab mengumumkan perubahan struktur gaji Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2004, dapat melihat perkara ini dari perspektif yang lebih luas demi menjaga kebajikan anggota tentera. Pada masa sama, kita juga mahu setiap anggota tentera pelbagai jawatan dapat meningkatkan tahap profesionalisme mereka, sekiranya skim gaji baru yang dicadangkan itu mendapat kelulusan kerajaan.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment