Wednesday, September 11, 2013

60,000 jawatan akan diisi



MAHMOOD Adam (tiga dari kanan) bermesra dengan sebahagian daripada penerima surat tawaran pelantikan pelbagai jawatan, di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 10 Sept. - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) percaya kira-kira 60,000 kekosongan untuk mengisi pelbagai jawatan di peringkat Persekutuan dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, dalam tempoh lapan bulan ini, kira-kira 25,686 daripada 60,000 kekosongan telah berjaya diisikan.

"Proses tapisan masih lagi berjalan dan temuduga diadakan setiap hari, termasuklah selepas waktu pejabat dan pada hujung minggu.

"Saya percaya pendekatan proses temuduga itu akan menarik lebih ramai calon berminat untuk hadir kerana tidak semua boleh hadir pada waktu pejabat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Khas Penyerahan Surat Tawaran Pelantikan Pelbagai Jawatan di Bawah Bidang Kuasa SPA di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 258 calon diberikan surat pelantikan dan pengesahan perkhidmatan untuk 10 jawatan dalam sektor awam.

Mahmood berkata, dalam tempoh lapan bulan tahun ini, seramai 1.96 juta orang memohon untuk menyertai sektor awam dan daripada jumlah tersebut, seramai 174,574 pemohon yang dipanggil untuk proses temuduga.
"Daripada jumlah itu kira-kira 118,375 pemohon hadir untuk proses temuduga manakala 25,686 calon menerima surat pelantikan dan pengesahan perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, salah seorang yang menerima surat tersebut adalah anak sulung bekas jaguh badminton negara, Razif Sidek iaitu Muhammad Fazril, 26.

Muhammad menyifatkan pelantikan tersebut memberi peluang kepadanya untuk berbakti kepada negara.
"Walaupun pendapatan dalam sektor swasta lebih tinggi tetapi pelantikan tersebut memberi peluang kepada saya untuk menabur bakti kepada negara sendiri," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: