Saturday, September 14, 2013

Kementerian, jabatan disaran buat keputusan

PUTRAJAYA 13 Sept. - Kementerian dan jabatan kerajaan disaran melaksanakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk mengambil tindakan tatatertib ke atas penjawat awam, tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, pada ketika ini terdapat ketua jabatan yang enggan membuat keputusan mengenai perkara tertentu termasuk soal tatatertib, tetapi lebih suka menyerah kepada JPA untuk memutuskan tindakan berkenaan.

''Untuk benda yang boleh dibuat keputusan di peringkat jabatan dan kementerian, tindakan harus diambil di peringkat tersebut dan tidak perlu sampai ke JPA. Di pihak JPA pula, kita buat keputusan tentang soal polisi.

''Jangan sampai segala keputusan pun ditolak kepada JPA dan apabila berlaku kelewatan, mereka menunjuk ke arah JPA juga," katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan dokumen penempatan kepada 20 penjawat awam yang menyertai program Cross Fertilization di syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC) dan badan berkanun, di sini hari ini.

Sejak dilaksanakan pada 2009, program tersebut telah memberi manfaat kepada 69 orang penjawat awam yang berpeluang bertugas dan menimba pengalaman di GLC, MNC dan badan berkanun selama kira-kira setahun sebelum kembali bertugas di sektor awam.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: