MELAKA 18 Sept. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan mengadakan program Pengarah Bertemu Pelanggan di Padang Awam, Kampung Gadek, Alor Gajah pada 28 September ini.
Pengarahnya, Mohd. Fadhil Hassan berkata, program itu bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan dengan jabatan.
Menurutnya, pelbagai aktiviti diatur khusus untuk orang ramai membuat urusan seperti pendaftaran lesen memandu warga emas bagi umur 45 tahun ke atas, pembaharuan lesen kenderaan motor, pembaharuan lesen memandu, pembayaran saman dan semakan senarai hitam.
''Kita juga akan mengehadkan pemeriksaan motosikal bagi lesen yang tamat tempoh melebihi satu tahun, di samping pendaftaran Skuad Muda 1JPJ dan mengedarkan topi keledar dan baju pantulan cahaya secara percuma," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mohd. Fadhil berkata, bagi tujuan tersebut, JPJ menyediakan beberapa kaunter urusniaga yang akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.
Menurutnya, antara agensi yang akan turut serta dalam program tersebut adalah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Biro Pengaduan Awam dan Unit Aduan Awam Melaka (e-Aduan).
Beliau berkata, antara agensi lain adalah Puspakom, Jabatan Penyiaran negeri, Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
''Orang ramai juga akan diberi penerangan mengenai prosedur berdasarkan permasalahan yang sering ditimbulkan pelanggan dan program ini juga membolehkan JPJ mendapat maklum balas mutu perkhidmatan jabatan," katanya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
No comments:
Post a Comment