Friday, September 6, 2013

Jadikan PBT cemerlang sebagai saingan bagi tingkatkan perkhidmatan


Yahya Hussin (duduk, tengah) bersama pemimpin JKKK DUN Petagas selepas majlis penyerahan watikah pelantikan ahli MDP sesi 2013-2014 di Putatan, Sabah, semalam


PUTATAN 5 Sept. - Majlis Daerah Putatan (MDP) perlu menjadikan PBT yang lebih berjaya sebagai saingan utama sekiranya ingin menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik dalam setiap perkhidmatan diberi kepada rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin menegaskan, tidak salah bagi majlis daerah berkenaan menjadikan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang terletak bersebelahan sebagai 'musuh utama' sekurang-kurangnya selari atau lebih baik daripada mereka.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab MDP memastikan sistem penyampaiannya cekap, cepat, berintegriti dan mesra pelanggan dan sasaran itu perlu dijadikan sebagai indeks prestasi utama (KPI).

"Bukan sekadar menguruskan sisa pepejal, kebersihan awam dan keindahan bandar tetapi fungsi sebenar mereka adalah melaksanakan projek-projek pembangunan dan kemudahan infrastruktur kepada masyarakat. Majlis ini perlu proaktif dan bertindak secara strategik untuk mencapai kecemerlangan seperti yang diharapkan rakyat," katanya.

Beliau berucap sempena Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli MDP sesi 2013-2014 di sini kelmarin.

Sebanyak 18 ahli MDP menerima watikah dan mengangkat sumpah jawatan majlis itu termasuk enam muka baharu iaitu Mahlan Zinin, Latip Jair, Yunos Asmat, Danin Momin, Lee Fong Moi dan Eddie Chua Swee Pin.

Ahli majlis daerah lain yang dilantik semula ialah Arsit Sedi, Abd. Kahar Mohd. Zain, Assan Nassip, Salmah Said, Ir. Shahelmey Yahya, Hamdan Suarah, Henry Chu Wing Siew, Ngu Woo Dung, Stephen L. Sondoh, Tony Mojigoh, Liew Lee Siam dan Helen Palait.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: