Monday, September 30, 2013

Elak ketirisan: SPRM diminta kerap pantau

KUALA TERENGGANU 29 Sept. - Penerapan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam khususnya di bawah agensi Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah penting bagi mengelak amalan rasuah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra disediakan peruntukan besar setiap tahun dalam usaha membantu masyarakat khususnya yang tinggal di luar bandar.

Sehubungan itu, tambah beliau, nilai integriti tersebut sangat penting bagi mengelak berlakunya 'ketirisan' (rasuah) serta cara kerja tidak baik dan sebagainya.

"Dengan adanya pemantauan dan kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, saya yakin dapat memberi kesedaran kepada anggota dalam memberi perkhidmatan terbaik.

"Dalam masa sama, saya juga meminta SPRM membuat lawatan lebih kerap ke penempatan anggota-anggota ini bagi memastikan kita dapat memantau perjalanan perkhidmatan mereka sama ada terdapat peningkatan atau potensi untuk mengelak rasuah," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta ikrar integriti bersama SPRM di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Ketengah diwakili Pengurus Besarnya, Wan Mat Amin Wan Daud manakala MARDI pula diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sharif Haron.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhammad; Pengerusi MARDI, Fadil Osman dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.

Dalam pada itu, Sutinah dalam ucapannya berkata, SPRM sedia memberi bantuan khususnya dari segi latihan berkaitan kepada mana-mana agensi yang serius membanteras gejala rasuah.

"Dalam hal ini, kita akan membina pelan integriti untuk organisasi, membangunkan pelan pembangunan yang berisiko serta melatih pegawai-pegawai berkenaan.

"Saya juga menyarankan MARDI dan Ketengah mewujudkan unit integriti bagi memudahkan urusan ini," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: