Wednesday, September 18, 2013

Jakim bakal terima pakar rujuk perjelas hukum berkaitan fatwa dalam portal

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung perjawatan seorang felo atau pakar rujuk untuk menjawab dan memperjelas hukum-hakam berkaitan fatwa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kelulusan itu sejajar dengan pelantikan individu daripada kalangan ulama yang akan menjayakan portal khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan supaya dapat memberi jawapan lebih pantas tanpa mengambil pandangan atau mencampur aduk hal peribadi, politik atau sesuatu organisasi.

"JPA sudah meluluskan perjawatan ini dan kita telah mengenal pasti individu daripada kalangan tokoh ulama berpengalaman luas dalam perkhidmatan agama dan Jakim juga sudah membangunkan portal itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis konvokesyen Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kali ke-2 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Timbalan Pengarah ILIM, Zainab Ab. Rahman.

Jamil Khir berkata, individu yang akan dilantik sebagai felo itu akan bergabung dengan pakar-pakar komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) untuk mengendalikan soal jawab berkaitan agama secara interaktif bersama masyarakat menerusi portal yang dibangunkan oleh Jakim.

Beliau berkata, pewujudan portal harian mudah rujuk itu yang akan menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab itu dilihat selari dengan cita rasa masyarakat masyarakat kini yang lebih suka membuat carian menerusi media baharu bagi mendapatkan maklumat termasuk hukum agama.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: