Wednesday, September 11, 2013

Kos hospital kerajaan meningkat 10 peratus

PULAU PINANG 10 Sept. - Kerajaan terpaksa menanggung peningkatan kos rawatan pelbagai penyakit sebanyak 10 peratus setahun ekoran kurangnya kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap amalan penjagaan kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, peningkatan tersebut termasuk kos pentadbiran, pembangunan dan kaedah rawatan yang diberikan kepada pesakit.

Menurut beliau, setiap tahun sebanyak RM20 bilion dibelanjakan kerajaan untuk rawatan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi rakyat di hospital-hospital kerajaan dan klinik kesihatan.

"Jumlah ini terus meningkat saban tahun bagi merawat penyakit seperti barah, diabetes, buah pinggang, darah tinggi dan angin ahmar yang berpunca daripada amalan penjagaan kesihatan kurang baik.

"Walau bagaimanapun, ini merupakan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dan pelbagai langkah akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Universiti Sains Malaysia (USM) Bebas Tembakau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf dan Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof. Adnan Hussein.

Melalui program berkenaan, USM menjadi universiti pertama di negara ini melancarkan kempen tersebut bertujuan mengurangkan tabiat merokok dan ketagihan tembakau dalam kalangan lebih 30,000 warga kampusnya seterusnya akan disebarkan kepada masyarakat.

Mengulas amalan penjagaan kesihatan yang masih rendah dalam kalangan rakyat, Hilmi menjelaskan, Kementerian Kesihatan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memastikan perkara berkenaan diberi perhatian.


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: