Saturday, September 21, 2013

Bahasa kebangsaan terus diperkasa dalam semua sektor perkhidmatan

DR. Ali Hamsa (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Dr. Awang Sariyan (kanan) mengenai isi kandungan Kamus DBP selepas melancarkan Buku Kamus Melayu-Inggeris Dewan Bahasa pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa Pustaka ke-57 di Menara DBP, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Dr. Madinah Mohamad (kiri) dan Dr. Mohd. Salleh Yaapar

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus dipertingkatkan dan seterusnya diperkasakan dalam sektor perkhidmatan awam, pendidikan, kewangan, tempat awam serta penyiaran.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, pelbagai usaha telah dan akan dilakukan oleh kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Jelasnya, antara usaha yang telah dilakukan termasuk melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan juga Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Malah kerajaan turut mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Sembilan Tahun 2011: Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

"Selaras dengan perkara ini, saya beriltizam untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu terus ditingkatkan serta akan menyokong usaha meningkatkan penegasan penggunaan bahasa kebangsaan itu dalam sektor lain seperti pelancongan, pentadbiran serta pengurusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-57 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta melancarkan Kamus Bahasa Melayu - Inggeris di Menara DBP di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Yaapar.
Mengulas lanjut, Ali turut memberitahu, usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sepatutnya bukan dipikul oleh DBP sahaja.

Katanya, tanpa sokongan serta penglibatan semua pihak segala usaha tidak mungkin membuahkan hasil yang memuaskan.

"Peranan masyarakat dalam usaha tersebut boleh ditunjukkan semasa sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober nanti.

"Penerapan bahasa dan sastera ke dalam jati diri masyarakat pasti akan menjadi benteng kukuh kepada usaha mempertahankan bahasa kebangsaan dan seterusnya menjamin kelangsungannya pada masa hadapan," ujarnya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: