PUTRAJAYA 26 Feb. - Mulai tahun ini pemohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk Program Ijazah Luar Negara (PILN) akan ditemu duga oleh pegawai- pegawai kerajaan dalam bidang yang berkaitan dengan kursus pilihan.
Sebagai contoh, sekiranya pemohon memilih kursus perubatan, maka calon itu akan ditemu duga oleh pegawai dalam bidang perubatan, pergigian atau farmasi.
Menurut kenyataan JPA hari ini, temu duga juga akan dilaksanakan secara berkumpulan mengikut bidang pengajian di mana setiap kumpulan terdiri daripada empat calon.
Calon-calon akan ditemu duga dan mengadakan perbincangan mengikut topik yang diberikan oleh panel terdiri daripada pelbagai kaum dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Kenyataan itu menyebut, satu jawatankuasa khas dibentuk untuk menyelia urusan temu duga bagi memastikan pelaksanaannya telus, adil dan saksama.
Menurut kenyataan itu, jumlah biasiswa yang ditawarkan pada tahun ini masih sama, iaitu 2,000 tempat.
Calon-calon bagi PILN tahun ini akan dipilih dari kalangan pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 bagi bidang perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial.
''Calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA," jelas kenyataan itu.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, calon yang memohon kursus perubatan diwajibkan menghadiri Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor selama lima hari mulai 23 Mac ini di 49 hospital kerajaan terpilih.
Dalam program berkenaan, calon-calon akan didedahkan dengan tugas seseorang doktor di unit-unit tertentu seperti Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Jabatan Pesakit Luar, Jabatan Pembedahan serta bilik mayat.
Calon-calon yang gagal masih berpeluang untuk mendapat tajaan JPA di institusi pengajian tinggi tempatan yang diiktiraf termasuk kampus-kampus cawangan universiti luar negara yang beroperasi di negara ini.
JPA akan membuat pengumuman lanjut mengenai PILN tahun ini tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment