Tuesday, October 1, 2013

MPKPG mahu taklimat skim

SHAH ALAM 30 Sept. - Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pendidikan (MPKPG) memohon kerajaan mengadakan taklimat Skim Saraan Transformatif Perkhidmatan Pendidikan Malaysia sebelum sistem itu dilaksanakan tahun depan.

Presidennya, Datuk Jemale Paiman berkata, taklimat tersebut penting bagi mengelakkan masalah yang dihadapi dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berulang.

''Kita mahu pihak kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengadakan taklimat berhubung Skim Saraan Transformatif Perkhidmatan Pendidikan Malaysia kepada semua guru sebelum dilaksanakan pada tahun depan.

''Kami tidak mahu skim tersebut menerima nasib yang sama seperti SBPA hingga dibatalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya selepas menghadiri Mesyuarat MPKPG di sini hari ini.
Jemale berkata, semasa SBPA dilaksanakan, pihaknya tidak dipanggil untuk sebarang taklimat oleh JPA dan berharap perkara yang sama tidak berulang.

Kata beliau, pihaknya turut mahu Kementerian Pendidikan dan JPA memberi cuti rehat kepada guru dari tujuh hari kepada 21 hari untuk mereka berehat.

''Anggapan guru mempunyai banyak cuti perlu diubah kerana sebenarnya mereka tidak bercuti kerana perlu menyiapkan tugasan, laporan dan mengendalikan kegiatan sukan.

''Dengan penambahan cuti rehat, maka guru tidak perlu mengambil cuti tanpa gaji untuk menunaikan umrah," katanya dan kesatuan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: